Budak 3 tahun dari Malaysia dengan skor IQ 142 menjadi ahli Mensa UK termuda pernah direkodkan

KUALA LUMPUR : Seorang kanak-kanak lelaki Malaysia berusia 3 tahun menjadi ahli termuda yang diterima memasuki Mensa, iaitu masyarakat IQ tinggi antarabangsa.

Muhammad Haryz Nadzim Mohd Hilmy Naim, yang menetap di United Kingdom bersama kedua ibu bapanya diterima masuk ke Mensa UK setelah mendapat skor 142 dalam ujian Stanford Binet – penilaian keupayaan kognitif yang digunakan untuk mengukur tahap kecerdasan IQ.

Menurut laporan Metro UK, nilai tersebut meletakkannya dalam 0.3 peratus tertinggi penduduk. Ibunya, Nur Anira Asyikin Hashim yang berusia 30 tahun berkata bahawa rahsia kepintaran anaknya adalah pendedahan kepada buku seawal umur 2 tahun. Tambah Anira, anaknya itu mula menyebut perkataan pertama ketika berusia 7 bulan dan apabila berumur 2 tahun, Haryz sudah boleh membaca sendiri buku ceritanya.

Anira dan suami, Mohd Hilmy Naim Mohd Yakin, kedua-duanya yang memiliki latarbelakang kejuruteraan sememangnya tidak pernah menyangka bahawa anak mereka memiliki kepintaran sedemikian. “Kami tidak mempunyai banyak pengalaman, jadi kami fikir kanak-kanak memang begitu. Tapi sebaik sahaja dia mula dihantar ke pusat asuhan, kami diberitahu bahawa keupayaan dirinya melebihi budak lain. Ketika itu kami sedari bahawa dia agak istimewa”, jelas Anira.



Setelah mengetahui akan kepintaran dan kemahiran yang dimiliki anak mereka, pasangan itu kemudiannya telah mencipta satu saluran YouTube dinamakan ‘Little Haryz’ agar ianya dapat memberi galakan kepada kanak-kanak lain.

Meskipun memiliki IQ yang tinggi namun Haryz masih lagi bersikap seperti kanak-kanak seusianya. “Dia suka lompat pada lopak air, melukis, menyanyi dan semua perkara yang budak seusianya lakukan”.

majalahperdana

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button