Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga M Ramayah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda golf negara, M Ramayah yang meninggal dunia hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Menurut hantaran pada akaun Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar buat sukan golf tanah air.

“Mendiang semasa zaman kegemilangannya pernah beraksi dalam 13 saingan kejohanan Piala Dunia,” menurut Istana Negara.

Mendiang bermula dengan sukan golf sejak usianya enam tahun dan sepanjang kerjayanya sebagai pemain profesional, mendiang telah banyak mengharumkan nama negara menerusi kejayaan yang diraihnya.

“Mendiang yang mula bergelar pemain golf profesional pada usia 18 tahun turut menyumbang kepada pembangunan sukan golf negara termasuk kerjayanya sebagai jurulatih,” menurut Istana Negara.

Ramayah meninggal dunia pada usia 67 tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) di Cheras, pagi ini.

Kematian legenda golf negara itu disahkan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed ketika dihubungi Bernama.

– BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker