Ramadan tidak membawa kelegaan kepada pelarian Palestin

 

Oleh Pena Merah

Ramadan tidak membawa kelegaan kepada pelarian Palestin
Keluarga Al-Naji berbuka puasa di depan runtuhan rumah mereka di Deir el-Balah, tengah Semenanjung Gaza. – Foto AFP

Ramadan yang bermula hari ini tidak membawa kelegaan kerana rakyat Palestin masih dibelenggu perang, diancam kebuluran serta penyakit, menggigil kesejukan di dalam khemah dan sentiasa ketakutan dibedil bom, susulan lebih lima bulan peperangan tercetus di antara Israel dan Hamas.

Keadaan mereka jauh berbeza dari negara Islam lain yang teruja menyambut bulan puasa serta berpuasa sepanjang hari.



Penduduk Gaza berdepan pengeboman dengan ramai antara mereka terpaksa keluar membersih timbunan runtuhan untuk menjejaki mangsa hidup atau jenazah korban perang.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memetik kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas, berkata 25 orang meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan tidak meminum air, dengan kebanyakan mereka kanak-kanak.

“Kita semakin kesuntukan masa. Jika kita tidak meningkatkan kadar bantuan ke kawasan utara Gaza, masalah kebuluran akan berlaku,” kata Ketua Program Makanan Sedunia (WFP), Cindy McCain.

PBB melaporkan kesukaran untuk memasuki utara Gaza bagi penghantaran makanan dan bantuan lain.



Seluruh penduduk Gaza di serata wilayah menghadapi masalah bekalan, lebih-lebih lagi ketika mereka beribadat puasa pada bulan Ramadan.

“Kami tidak tahu apa juadah untuk dimakan ketika berbuka puasa nanti.

“Saya hanya ada sebiji tomato dan sebiji timun. Saya tiada wang untuk membeli apa-apa,” kata Zaki Abu Mansour, 63 yang ditemui di dalam khemah yang menjadi tempat perlindungan.

Menurut penduduk, setiap barang yang ada dijual pada harga sangat mahal.



Keadaan perang di Gaza terus berlanjutan, walaupun Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa pihak bertempur meletakkan senjata pada bulan suci umat Islam.

Beliau turut menyatakan rasa terkejut dan marah berikutan konflik tetap berterusan.

Guterres juga merayu kedua-dua pihak menghapuskan semua halangan untuk memberi laluan penghantaran bantuan.

Bantuan memasuki Gaza yang jauh berkurangan berbanding keadaan sebelum perang, membuatkan rakyat Gaza semakin terdesak, memaksa kerajaan asing terpaksa menghantar bantuan dari udara dan kini berusaha mengendalikan agihan bantuan menerusi jalan laut. – AFP



 

Pelarian Palestin di kem dengan latar belakang masjid pada hari pertama Ramadan, di Rafah. - Foto AFP
Pelarian Palestin di kem dengan latar belakang masjid pada hari pertama Ramadan, di Rafah. – Foto AFP


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading