Polis cari pemilik kereta ada vest polis

Ipoh: Polis meminta individu yang merakam gambar kereta mengandungi vest polis yang menghalang lalu lintas di Persiaran Brash berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini untuk tampil membantu siasatan.

Gambar kereta jenis Proton Saga itu tular di Twitter selepas diparkir secara berlapis hingga menghalang lalu lintas, malah mendapat reaksi pelbagai warganet berikutan vest polis yang diletakkan di atas papan pemuka.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pemilik akaun Twitter yang memuat naik gambar itu boleh menghubungi Deputi Superintendan Koo Boon Kuat di talian 016-4173222.



“Polis sedang mengesan individu yang merakam gambar itu bagi membantu mengenal pasti pemilik kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung perkara itu hingga menjejaskan siasatan mahupun menggugat reputasi Polis Diraja Malaysia.

Hantaran itu sudah diulang ciap lebih 2,900 dan lebih 749,000 tontonan sejak dimuat naik semalam.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button