Hati saya lega, lapang – Ibu

PASIR GUDANG: “Alhamdulillah, reda…saya lega, kepala rasa ringan, tahu dia ke mana, Sang Pencipta sudah ambil.”

Demikian luahan hati seorang ibu, Azmawati Ab Kadir, 55, selepas selesai pengebumian anak sulungnya, Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, yang hilang tanpa berita sejak 29 Oktober lalu.

Ibu kepada dua anak ini tidak henti-henti melahirkan rasa syukur kerana jasad anaknya ditemui dan segala urusan pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih berjalan lancar.

“Sudah selesai Ya Allah, terima kasih Ya Allah, 24 tahun Allah pinjamkan dia untuk saya.



“Ya Allah syukur Alhamdulillah, dia (arwah) anak yang terbaik untuk saya. Semua sudah selesai. Ini semua ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui di sini, awal pagi tadi.

Menurut Azmawati, dalam tempoh hampir 10 bulan kehilangannya, setiap masa dia teringatkan kepada arwah.

Katanya, dia sering tertanya dan terfikir di manakah anaknya pergi ketika itu.

“Tempoh yang lama, tetapi sekarang hati saya lapang sangat, sebelum ini beban kerana terfikir-fikir mana anak aku?



“Kalau hujan macam sekarang ini, saya akan fikir abang di mana ye? Sekarang ini saya sudah tahu dia ada di sini, Sang Pencipta dia sudah ambil, saya reda,” katanya.

Awal pagi tadi, jenazah Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, yang ditemukan dalam kenderaan pelbagai guna ( MPV) di Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan Pahang selamat dikebumikan.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Putih, di sini, jam 1 pagi hari ini.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker