“Amboi! Kahwin Lagi Nak, Tapi Nafkah Anak…”

5 Jenis Nafkah Anak Bapa Sering Culas Lepas Bercerai @ Kahwin Baru!

Sudah dapat madu sepah dibuang, sudah dapat kahwin baru nafkah anak pun berkurang. Inilah realiti sekarang yang berlaku, apabila melibatkan jumlah nafkah anak selepas cerai yang semakin berkurangan. Ia boleh juga terjadi dek kerana bapa berkahwin baru.

Sebagaimana perkongsian dari seorang Peguam Syarie, Fahmi Ramli, yang berkongsi kesedaran mengenai pemberian nafkah anak dari bapa yang dikurangkan selepas terjadinya hal di atas dalam institusi kekeluargaan. Mari lihat 5 jenis nafkah tersebut.

PENTINGNYA TANGGUNGJAWAB NAFKAHI ANAK DALAM ISLAM

Tak adil potong nafkah anak sebab nak kahwin lain. Banyak bapa yang masih belum ‘aware’ tanggungjawab menafkahi anak bukan terlepas kepada ibu khususnya, bila berlaku perceraian. Tapi, ada juga isu yang lebih ‘worse’ atau lebih teruk.

Bila seorang ayah yang masih dalam perkahwinan, cuba ‘cut off’ perbelanjaan wajib ke atas anak hanya semata-mata nak kahwin lain. Maksudnya, dia nak poligami, tapi catu hak anak.



Asalnya ada tanggung belanja ‘tuition’ anak, kemudian potong. Asalnya ada bagi nafkah sebulan RM1000, tapi bila nak kahwin lain, potong bagi jadi RM500 sebulan.

Ini termasuklah bagi kes pasangan yang dah berlaku perceraian. Asalnya boleh bagi nafkah anak setiap bulan, tetapi, hanya disebabkan nak kahwin lain, belanja nafkah anak pun dikurangkan sebab nak pikul nafkah isteri baru.

Pada saya, nafkah anak tetap wajib dan tak sepatutnya dipotong atau dikurangkan. Sebelum ini boleh sahaja bayar Tadika Swasta. Tapi lepas cerai, tiba-tiba nak daftar sekolah biasa sebab nak kahwin lain.

NAFKAH ANAK SELEPAS CERAI ATAU KAHWIN BARU YANG BAPA SERING KURANGKAN

Ada 5 jenis nafkah anak yang selalu bapa kurangkan bila berlaku perceraian atau berkahwin lain:



1. TEMPAT TINGGAL

Biasanya hak jagaan anak selepas cerai akan diletak dibawah ibu. Tapi, banyak bapa yang pentingkan hal nafkah tempat tinggal ini sebabnya, bekas isteri tinggal bersama anak tersebut.

Memang bekas isteri tak perlu ditanggung nafkah tempat tinggal, tapi sekurang-kurangnya hulur lah juga duit belanja untuk anak tersebut. Hal ini kerana, anak itu juga akan guna elektrik dan air di rumah, bukan bekas isteri sahaja.

2. MAKAN MINUM

Sepatutnya, kita semua cakna harga makan minum sekarang makin naik. Hinggakan ada inisiatif kerajaan untuk ‘Menu Rahmah RM5’. Maksudnya secara tak langsung nak tunjukkan, sekali makan sahaja paling minimum pun RM5.

Kalau sehari tiga kali makan pun sudah RM15. Kalau sebulan RM450. Macam mana ada bapa yang berfikiran makan minum untuk seorang anak cukup kalau RM200 sebulan.

Apakah si bapa ini nak suruh anak berpuasa dan dia boleh kahwin baru dengan aman?

3. PAKAIAN RAYA

Kadang-kadang baju raya yang setahun sekali pun tak disediakan. Kalau ada pun jenuh minta, macam-macam alasan. Belum kira lagi pakaian harian.

Kena ingat, pakaian ini bukan baju sahaja. Ubat gigi, sabun, bedak semua tu pun pakaian wajib. Tapi banyak juga yang dilepas pandang. Kalau bagi alasan kata baju raya sekarang mahal dan tak mampu nak beli, sekurang-kurangnya beli lah setakat yang mampu.

Hairannya, bila cakap tak mampu tapi time raya, banyak pula bapa yang pakai ‘menghebat’. Baju dia tak nak kalah. Sepasang Bulan Bintang raya pertama, sepasang lagi Elrah raya kedua.

4. KEPERLUAN SEKOLAH

Yang ini paling banyak kena ‘sunat’. Anak sedang sekolah agama elok-elok yang sebelum ini bapa boleh bayar, tiba-tiba nak hantar ke sekolah biasa sebab sudah tak mampu bayar.

Kalau isunya bapa itu kena potong gaji ke atau ada isu kecemasan tertentu mungkin boleh diterima. Yang tak boleh nak hadam bila kahwin lain dan kemudian tanggung nafkah anak tiri.

Barang sekolah dan yuran sekolah anak sendiri, si ibu tanggung konon bapa ada liabiliti baru.

5. MEDICAL CARD & SAVING

Sebelum ini sangat ‘aware’ tentang keperluan insurans kesihatan dan simpanan masa depan anak. Tak pernah ‘miss’ untuk bayar secara bulanan.

Dia tahu kalau jadi apa-apa kepada anak, akan ada perlindungan kesihatan. Sudahlah kos perubatan dan kesihatan semakin meningkat.

Bila sudah bercerai, itulah perkara yang pertama bapa itu akan lakukan. Potong insurans dan simpanan Takaful anak. Kalau bekas isteri nak potong, fahamlah sebab bekas isteri. Alasan nak kahwin lain, boleh je hantar anak ke hospital kerajaan.

INGATLAH! BERPISAH DENGAN ISTERI BUKANNYA BERCERAI ANAK

 

Kesimpulan,

Sebenarnya ada banyak lagi yang selalu dipotong berkaitan dengan belanja nafkah anak ini. Khususnya bila si bapa bercerai dengan ibu atau si bapa nak berkahwin lain.

Ingatlah, tanggungjawab nafkah anak ini sangat penting dalam Islam. Kita boleh berpisah dengan isteri, tapi sama sekali tidak akan bercerai dengan anak.

Sangat zalim dan tidak adil seorang bapa nak ‘potong’ atau ‘sunat’ perbelanjaan nafkah anak sedia ada, hanya semata-mata nak kahwin lain. Boleh kalau nak kahwin, tiada masalah. Cuma syaratnya, bukan potong perbelanjaan tapi cari lebihan pendapatan. 

Fahmi Ramli, Peguam Syarie.

Sumber: Facebook Fahmi Ramli

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker