Siti Bainun bebas atau bersalah?

KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, tiba di Kompleks Mahkamah di sini pagi ini, bagi mengetahui nasibnya sama ada dilepaskan atau disabitkan atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali Bella.

Siti Bainun yang memakai baju kuning dan berseluar hitam ditemani seorang wanita, memasuki lobi mahkamah jam 8.20 pagi.

Pengasas Rumah Bonda itu kelihatan tenang ketika dirakam foto dan video oleh lebih 10 pengamal media yang berkumpul sejak jam 8 pagi.

Pada 9 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemukakan lapan saksi dengan Siti Bainun sebagai saksi pembelaan pertama memberi keterangan pada prosiding bermula 26 Januari lalu.

Saksi lain memberi keterangan ialah pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai serta pegawai penemubual Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC), Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim dan Nor Aidil Farhab Johaizad.

Siti Bainun, 31, sepatutnya memberi keterangan membela diri pada 16 Januari lalu, namun prosiding ditangguhkan berikutan tiga peguamnya iaitu Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maarof dan Nur Ellena Mohamed Razif menarik diri daripada mewakilinya.

Prosiding membela diri itu bersambung keesokannya, namun dua lagi peguamnya iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil turut membuat keputusan menarik diri daripada mewakili Siti Bainun sekali gus menjadikan tertuduh tidak mempunyai peguam.

Pada 26 Januari lalu, Hakim, Izralizam Sanusi, mengarahkan Siti Bainun memberi keterangan membela diri walaupun wanita itu tidak diwakili peguam supaya tidak mengganggu perjalanan kes.

Bagaimanapun, pada 20 Februari lalu, Siti Bainun melantik semula Mohammad Farhan yang pernah mewakilinya semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan.

Pendakwaan mengemukakan 22 saksi termasuk bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood; pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan; pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur yang memberi keterangan pada perbicaraan bermula 30 Mac 2022.

Pada 24 November 2022, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker