89 individu lagi ditahan dalam Ops Cantas Khas Kuala Kedah

Alor Setar: Seramai 89 individu termasuk enam yang dikehendaki polis ditahan termasuk lima wanita dalam hari kedua Ops Cantas Khas di sekitar Kuala Kedah, semalam.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan dalam operasi besar-besaran selama dua hari itu adalah seramai 158 orang termasuk 10 orang dikehendaki polis atas pelbagai kesalahan.

Operasi yang diadakan sejak Jumaat lalu itu bertujuan untuk memastikan kawasan Kuala Kedah bersih daripada kegiatan penagihan dadah dan jenayah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dalam operasi yang bermula jam 10 pagi semalam, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 382 individu di kawasan itu selain pemeriksaan di 159 rumah di kawasan Kuala Kedah.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan seramai 280 pegawai kanan dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

“Selain itu, operasi turut dibantu oleh Pasukan Polis Marin (PPM)Kuala Kedah, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ‘Tiger Platoon’ Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 20-an hingga 50-an yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk jenayah dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, selain dari tangkapan dan rampasan, sebanyak 162 kenderaan diperiksa dan 60 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Semua tangkapan disiasat. mengikut Seksyen 15 (1) a Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,

Seksyen 39A (2) ADB 1952, Seksyen 4 (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Sek 135 (1) (d) Akta Kastam dan Sek 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959.

Media semalam melaporkan, empat individu yang dikehendaki polis serta 69 individu termasuk dua wanita ditahan dalam Ops Cantas Khas yang dilakukan di sekitar kawasan Kuala Kedah, Jumaat lalu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker