Dewan Rakyat lulus Bajet Mini RM107 bilion

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini secara sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan Perdana Menteri pada mesyuarat pertama Majlis Parlimen Ke-15.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan bajet mini, bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan, membabitkan wang bernilai RM107,718,676,650.

Beliau membentangkan peruntukan itu di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

Akta berkenaan akan membenarkan perbelanjaan dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi sebahagian tahun 2023, antaranya termasuk bagi pembayaran emolumen penjawat awam.

Bajet Mini akan berkuat kuasa hingga Bajet 2023 dibentang dan lulus di Parlimen

Ia susulan RUU Perbekalan 2023 tidak akan diluluskan Parlimen sebelum 1 Januari depan, maka peruntukan perlu dikeluarkan bagi perbelanjaan dalam tahun 2023 bagi tempoh dari 1 Januari hingga tarikh RUU Perbekalan 2023 menjadi undang-undang dan mula berkuat kuasa.

Dalam pada itu, Anwar menerusi Seksyen 4 Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1996 mencadangkan dana bernilai RM55,959,213,200 dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2023 untuk perbelanjaan segera.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, perbelanjaan segera itu bagi maksud yang dinyatakan dalam penyata sementara, dibentangkan sebagai Kertas Perintah 54 Tahun 2022.

“Jumlah wang berkenaan dalam ruang tiga dan empat penyata itu bertentangan dengan maksud yang dinyatakan dalam ruang satu penyata ini adalah diuntukkan bagi perbelanjaan sementara menunggu Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2023 diluluskan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker