Anak Orang Asli semakin cemerlang

EDMUND Ross Williams Hunt yang berjaya melanjutkan pengajian tinggi di London menjadi kebanggaan suku Orang Asli Semai dari Perak.

 

 

Rohana Man

 

SEMAKIN ramai anak-anak Orang Asli layak melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan dan luar negara, sekali gus mengharumkan nama kampung kelahiran mereka.

Kejayaan yang mereka lakar sekarang bukan mudah memandangkan jarak sekolah dan kampung mereka jauh dari kemudahan untuk meneruskan persekolahan.

Dilaporkan ramai yang tercicir kerana tidak berminat meneruskan persekolahan lantaran masalah tersebut.

Justeru, kerajaan khususnya melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa ‘mencari jalan’ untuk memastikan anak-anak Orang Asli tidak tercicir dalam menikmati kemudahan pengajian yang ditawarkan di IPTA.

Hasil pelbagai inisiatif kerajaan, kini lahir seorang demi seorang anak-anak Orang Asli yang berpeluang meneruskan pengajian ke puncak menara gading termasuk di luar negara.

Ini satu pencapaian yang amat membanggakan.

Memang bukan mudah untuk menamatkan pengajian tanpa kesabaran, kesungguhan dan kerja keras yang konsisten.

Segala pengorbanan selama tempoh pengajian antara tiga hingga empat tahun berbaloi apabila mereka meraih kecemerlangan dengan membawa pulang segulung ijazah, ijazah sarjana atau ijazah doktor falsafah (PHD) ke kampung halaman.

Hari ini KPT dan JAKOA melalui laman Facebook masing-masing berkongsi kejayaan pasangan kembar anak Orang Asli daripada suku kaum Semai yang menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda (kepujian) dalam bidang sains kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 

Pada usia 25 tahun, Amelia Ahmad dan Amelina Ahmad membuktikan tidak ada yang mustahil untuk generasi muda Orang Asli meraih kecemerlangan akademik.

Apa yang penting adalah kesungguhan dan kerja keras dalam menempuh cabaran sepanjang tempoh pengajian di tempat yang tentunya agak asing bagi mereka.

Mengulas apakah cabaran yang ditempuh, Amelia, berkata, beliau mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri menjalani kehidupan baharu dengan rakan-rakan dan persekitaran ketika mula memasuki Pusat Asasi UIAM.

Memandangkan mereka berdua tidak mempunyai asas Bahasa Arab, maka mereka perlu mempelajarinya dari peringkat awal.

“Bagaimanapun apabila tiba di peringkat pengajian ijazah, kami sudah mula biasa dan berasa selesa belajar di kampus,” katanya.

Amelia dan Amelina menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kemanusiaan (Sejarah dan Peradaban) pada Majlis Konvokesyen UIAM Ke-37 di Dewan Wadi Budi, Kampus Gombak pada sesi kesembilan,17 Ogos 2022. Majlis konvokesyen itu berlangsung selama enam hari pada 13 hingga 18 Ogos ini.

Mengulas kunci kejayaan, Amelia berkata, mereka sentiasa positif dalam usaha meningkatkan prestasi pengajian termasuk mengulangkaji pelajaran dan saling membantu menyelesaikan tugasan kuliah.

“Saya dan kembar bersaing secara sihat untuk meningkatkan lagi kefahaman bagi meneruskan perjuangan menuntut ilmu,” katanya.

Sementara itu, kembarnya, Amelina pula berkata, kejayaan yang digapai itu adalah hadiah paling berharga dan cukup bermakna untuk ibu bapa tersayang dan seluruh ahli keluarga, selain orang kampung yang turut berkongsi kegembiraan mereka.

“Saya bersyukur pengorbanan keluarga termasuk dalam aspek kewangan dan sokongan yang tidak pernah putus membantu kami menamatkan pengajian dengan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan yang diraih bersama kembarnya itu membuktikan masyarakat Orang Asli juga mampu menguasai bidang akademik, sekali gus bersaing di peringkat pengajian lebih tinggi.

Dalam pada itu, bapa kepada pasangan kembar tersebut, Ahmad Uda, 62, bersyukur dan berbangga dengan pencapaian anak-anaknya dan berharap agar kejayaan mereka menjadi pembakar semangat kepada anak-anak muda Orang Asli yang lain.

“Kejayaan anak-anak saya ini boleh dijadikan teladan dan membangkitkan semangat anak-anak Orang Asli yang lain supaya cekal menempuh cabaran untuk berjaya,”ujarnya.

Dalam satu perkembangan lain, carian maklumat di internet mendapati anak Orang Asli dari suku Semai, Edmund Ross Williams Hunt turut melakar kejayaan cemerlang dalam pengajian tinggi.

JAKOA dalam laman Facebooknya pada 17 Februari 2022 mengucapkan tahniah kepada Edmund yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana (kepujian) dalam bidang teater muzikal di Goldsmiths University of London.

Apa yang lebih membanggakan, anak jati Perak itu juga merupakan salah seorang daripada 38 penerima tajaan Anugerah Biasiswa Chevening oleh Foreign, Commonwealth and Development Offise (FDCO) United Kingdom pada 2020.

Ia satu pencapaian yang hebat kerana untuk layak menerima anugerah itu, Edmund perlu bersaing dengan puluhan ribu permohonan dari seluruh dunia.

Daripada kira-kira 60,000 yang memohon, hanya seramai 1,300 sarjana sahaja yang terpilih menerima anugerah itu termasuk Edmund.

Perkongsian Facebook JAKOA turut memaparkan pencapaian membanggakan yang direkodkan Edmund dalam bidang seni kreatif yang lain.

Untuk rekod, Edmund sebelum ke London merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Pemakanan dan Kesihatan Komuniti) Universiti Putra Malaysia dan pemegang Ijazah Kepimpinan Pendidikan (Kepujian) Universiti Malaya.

Selain itu, beliau pernah mengikuti kursus peringkat antarabangsa di National Institute of Dramatic Art, Sydney, Australia dan Royal Conservatoire of Scotland, Glasgow, United Kingdom.

Kesemua kejayaan anak-anak Orang Asli ini boleh dijadikan inspirasi kepada ibu bapa Orang Asli untuk menggalakkan anak-anak belajar ke peringkat pengajian tinggi demi masa depan yang lebih gemilang.

Tentang pembiayaan yuran pengajian, anak-anak Orang Asli menerima keistimewaan yang jauh lebih banyak termasuk dana kerajaan dan biasiswa luar negara yang disediakan khusus untuk mereka yang berminat untuk menyambung pengajian.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker