COVID-19: KOM harap Kedutaan Malaysia di Jerman bantu Irfan


Muhammad Irfan Shamsuddin

02/01/2021 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan — Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berharap Kedutaan Malaysia di Jerman dapat membantu atlet lempar cakera negara Muhammad Irfan Shamsuddin yang disahkan positif COVID-19.

Presidennya Datuk S.M. Muthu berkata KOM akan menghubungi kedutaan untuk mendapatkan perkembangan mengenai pemegang rekod kebangsaan itu yang sedang menjalani latihan di Leipzig.

“Saya amat simpati dengan keadaan (Muhamad) Irfan yang telah disahkan positif wabak itu. Kami berdoa agar beliau cepat sembuh. Kami juga akan berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara untuk membantu beliau,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, atlet kelahiran Negeri Sembilan berusia 25 tahun itu menerusi hantaran di laman sosial Instagram berkata beliau menjalani ujian calitan pada Selasa selepas berasa tidak sihat dan menjalani kuarantin kendiri di rumah apabila disahkan positif wabak tersebut pada hari berikutnya.

Dalam hantaran terbaharunya hari ini, Muhammad Irfan meminta bantuan pengikut Instagram beliau agar memberikan tip menangani jangkitan tersebut selepas mula mengalami beberapa simptom.

“Tiredness, dizziness, and a lil sore throat but still managed to complete all the workouts at home. Sesiapa yang ada pengalaman kena COVID-19 or merawat boleh share dekat saya please untuk diri saya prepare.

(Rasa letih, pening dan sakit tekak tetapi masih mampu membuat latihan senaman di rumah. Sesiapa yang ada pengalaman dijangkiti COVID-19 atau merawatnya, boleh berkongsi dengan saya sebagai persediaan.)

“Saya tak ada temperature (tinggi). Tapi badan rasa penat and kepala pening dekat area mata dengan dahi. Apa yang saya ambil daily Vitamin C 2000mg, multivitamin D3 and a lot of tea. Sometimes bila kepala rasa berat sangat saya akan ambil paracetamol. Appreciate your sharing,” menurut catatan itu.

(Saya tidak mengalami suhu tinggi. Tapi badan rasa penat dan kepala pening (rasa berdenyut) di kawasan mata dan dahi. Apa yang saya ambil setiap hari ialah vitamin C 2000mg, multivitamin D3 dan minum banyak teh. Kadang-kadang bila kepala rasa terlalu berat, saya ambil paracetamol. Saya hargai perkongsian anda.)

Muhammad Irfan merupakan atlet olahraga kedua yang menjadi mangsa kepada wabak virus korona itu, selepas pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi negara Jackie Wong Siew Cheer disahkan positif COVID-19 pada Mac lepas.

Muhammad Irfan adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 62.55 meter (m) yang dilakar pada kejohanan olahraga Austrian Top Meeting 2017.

Beliau juga merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA empat kali berturut-turut sejak edisi 2013 di Myanmar, selain berjaya meraih pingat perak pada Kejohanan Olahraga Asia 2017 di Bhubaneswar, India.

Irfan susun strategi layak ke Olimpik

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker