Agong, Raja Permaisuri hadiri majlis makan malam 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia-India

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis makan malam gala diraja sempena 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan India.

Majlis anjuran Konsortium Industri India di Malaysia (CIIM) yang diadakan malam tadi dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia itu juga bertujuan memperingati 15 tahun penubuhan CIIM di Malaysia.

Pengerusi CIIM, Datuk Umang Sharma, dalam ucapannya, berkata CIIM ditubuhkan pada 2005 yang mewakili korporat India di Malaysia dengan objektif untuk mewujudkan hubungan di antara syarikat India dan pelbagai pemegang kepentingan industri di Malaysia.

“Apabila perjanjian percukaian ‘Malaysia-India Double’ sedang dirundingkan, CIIM memainkan peranannya dengan memberi maklum balas dan cadangan kepada kerajaan mengenai isu yang dihadapi oleh industri,” katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, BN Reddy dan beberapa kenamaan lain termasuk anggota kor diplomatik.

Sharma berkata, terdapat lebih 250 syarikat India beroperasi di Malaysia dan telah melabur lebih AS$3 bilion selain mengupah lebih 100,000 rakyat Malaysia.

“Pada tahun lalu, perdagangan dua hala Malaysia-India mencatatkan nilai AS$20 bilion. Ekonomi India berkembang pada 8.6 peratus pada 2021 dan dijangka berkembang pada tujuh peratus tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menyertai 120 pemain pada kejohanan golf jemputan yang julung kali diadakan.

Pada majlis makan malam itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menerima cenderahati ‘golf driver’, manakala Raja Permaisuri Agong berkenan menerima cenderahati pasu yang mempunyai ukiran unik seperti ukiran Taj Mahal. –

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker