PU Syed diancam tembak gara-gara Blackpink

KUALA LUMPUR: Pendakwah selebriti, PU Syed tidak akan berhenti menyebarkan dakwah biarpun menerima ugutan bunuh berikutan tindakannya yang membantah penganjuran konsert kumpulan Blackpink, minggu lalu.

Pendedahan mengenai ugutan bunuh dibuat PU Syed atau nama sebenarnya, Syed Mohd Bakri Syed Ishak menerusi aplikasi TikTok miliknya.

PU Syed berkata, ini kali pertama menerima ugutan bunuh, namun tidak bercadang membuat laporan polis kerana yakin itu adalah akaun palsu.

“Ini kali pertama saya berdepan ugutan bunuh, tetapi saya tahu ia adalah akaun palsu. Jadi, saya tidak bercadang membuat laporan polis kerana ia sudah dipadamkan.

“Bagaimanapun, saya sempat menangkap layar ugutan berkenaan,” kata PU Syed.

Tambah PU Syed, ugutan diterima tidak sedikitpun menakutkannya, malah akan terus menjalankan kerja dakwah dengan memberikan teguran kepada perkara yang dirasakan perlu.

“Daripada gaya tulisan pemilik akaun, saya tahu menggunakan terjemahan enjin pencarian Google. Jadi, saya tidak sikit pun tergugat atau takut, sebaliknya akan tetap memberikan teguran jika perlu,” katanya.

Terdahulu, menerusi perkongsian dalam TikTok, Pu Syed mendedahkan menerima ancaman menembaknya daripada individu tidak dikenali menerusi mesej langsung dihantar ke akaun Instagram.

Selain itu, pemilik akaun turut mendoakan anak-anaknya terkena jangkitan virus disebabkan tindakannya menentang penganjuran konsert Blackpink yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Ancaman ini sangat biasa bagi pendakwah, bahkan kita dapat melihat dalam sejarah rasul dan para nabi bagaimana mereka diancam.

“Jadi, saya bukan rasul, saya hanyalah seorang pendakwah yang mengajak orang mencegah kemungkaran dan melakukan kebaikan.

“Itu sahaja yang boleh diberi ancaman kepada kita, walaupun saya tahu itu adalah akaun palsu, tetapi selagi hayat ada, saya akan menegakkan mencegah kemungkaran tidak kira siapa dengan izin Allah.

“Saya hendak sahabat semua marilah membuka mata dan minda untuk kita yang berada pada akhir zaman supaya menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran sebab kita risau anak cucu kita nanti.

“Saya ada anak-anak, risau mereka akan berada dalam keadaan yang sesat, suatu masa nanti. Kita perlu menyelamatkan mereka daripada lembah kehancuran,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker