‘Panjang umur, lepas tempoh penggantungan ni siap la’

Oleh – Syeikh Baran


'Panjang umur, lepas tempoh penggantungan ni siap la'
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang kini digantung keahlian tidak bercadang meninggalkan parti itu, sebaliknya kekal setia dan berharap dapat kembali ke arena politik semula.

Menurutnya, meskipun pernah ditawarkan menjadi calon untuk parti lain semasa pilihan raya umum dua tahun lalu, beliau bertindak menolak pelawaan itu kerana sayang kepada Umno.



“Setakat ini saya tidak la terfikir hendak ke parti lain. Walaupun sebelum ini Pas tawarkan jadi calon, saya tolak.

“Panjang umur, lepas tempoh penggantungan ni siap la.

“Kalau saya tak digantung, (jawatan) naib presiden itu saya punya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Perdana di Kolej Antarabangsa TAJ di sini, malam tadi.

Tajuddin sebelum ini digantung keahlian parti selama enam tahun susulan keputusan mesyuarat MKT Umno pada 30 September 2022.



Pada 21 Julai tahun lalu, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu dilaporkan berkata, sudah mengemukakan rayuan sebanyak empat kali, namun permohonannya tidak dibalas dan tidak berhasrat untuk merayu lagi.

Dalam pada itu, Tajuddin meluahkan kebimbangan terhadap masa depan Umno kerana pimpinan parti yang disifatkan olehnya sebagai gagal mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap parti itu selepas berdepan kekalahan paling teruk pada pilihan raya umum lalu.

“Saya dukacita kerana kepimpinan Umno, dari atas sampai ke bawah, dari MKT sampai ke peringkat bahagian, semuanya tidak nampak mengambil sikap serius dan tanggungjawab untuk membuat perubahan kepada Umno.

“Jika tiada perubahan dari segi tindakan, khidmat kepada masyarakat serta kepimpinan, bagaimana Umno nak kembali pulih dan bangkit semula?” katanya.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button