Keputusan semakan kes Datuk Seri Najib Razak 31 Mac

PUTRAJAYA: Permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd akan diputuskan 31 Mac ini.

Tarikh berkenaan disahkan oleh seorang peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut Muhammad Farhan, pihaknya menerima surat daripada Mahkamah Persekutuan yang memaklumkan mengenai tarikh berkenaan.

Jika permohonan bekas perdana menteri itu dibenarkan, mahkamah akan menetapkan tarikh bagi mendengar merit semakan berkenaan.

Permohonan Najib itu akan diputuskan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli.

Turut bersidang dalam panel itu ialah tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan, dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais yang mula mendengar permohonan kebenaran bagi semakan sejak 19 Januari lalu.

Dalam permohonan kebenaran semakan berkenaan, Najib mahukan mahkamah tertinggi negara supaya menyemak keputusan panel lima hakim pada 23 Ogos tahun lalu, dengan memohon perintah supaya keputusan rayuan utama beliau diketepikan dan beliau dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

Secara alternatif, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon rayuan berkenaan didengar korum Mahkamah Persekutuan lain yang mengandungi tidak kurang daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam afidavit Najib yang difailkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan bahawa beliau benar-benar percaya dan dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker