Dah mabuk, pukul polis pula

Ipoh: Dua anggota polis cedera akibat dipukul lelaki disyaki mabuk yang mengamuk dalam kejadian berdekatan pos pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata suspek berusia 30 tahun itu bagaimanapun berjaya ditangkap beberapa anggota polis yang sampai memberi bantuan di tempat kejadian.

Beliau berkata, kejadian sekitar jam 12.05 tengah malam itu bermula apabila kereta dipandu suspek warga tempatan itu terlanggar penghadang jalan berhampiran pos pengawal PLPGU terbabit.



“Pemandu kereta yang disyaki di bawah pengaruh alkohol itu kemudiannya mengamuk dan memukul dua orang anggota polis yang berada di tempat kejadian semasa pemeriksaan dijalankan terhadapnya.

“Akibat serangan terbabit, kedua-dua anggota polis itu mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas; serta Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kerana memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan.



Beliau berkata, suspek direman tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button