Mexico terlalu bahaya untuk dikunjungi

Mexico terlalu bahaya untuk dikunjungi

Mexico terlalu bahaya untuk dikunjungi
POLIS Mexico menahan lima anggota kartel dadah yang diikat dan ditinggalkan di tepi jalan di Matamoros.-AGENSI

TEXAS: Pihak berkuasa Texas memberi amaran kepada rakyat Amerika Syarikat (AS) supaya tidak pergi ke Mexico semasa cuti musim bunga berikutan ancaman keganasan kartel dadah yang semakin memuncak di negara itu.

Amaran tersebut dikeluarkan selepas empat rakyat AS diculik sejurus selepas menyeberang sempadan minggu lalu.

Dua daripada mereka dibunuh, manakala dua lagi dibebaskan tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Tiga wanita AS yang pergi ke Mexico untuk menjual pakaian di pasar lambak di negara itu turut dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu.

“Keganasan kartel dadah dan aktiviti jenayah lain mewakili ancaman keselamatan yang besar kepada sesiapa sahaja yang ingin menyeberang ke Mexico ketika ini.

“Berdasarkan sifat aktiviti kartel yang tidak menentu dan tahap keganasan yang kami lihat di sana, kami menggesa individu untuk membatalkan perjalanan ke Mexico pada masa ini,” kata Pengarah Jabatan Keselamatan Awam Texas, Steven McCraw.

TINDAKAN ANEH KUMPULAN KARTEL

Empat rakyat AS dilaporkan diculik oleh kartel dadah dan dua daripada mereka dibunuh ketika melawat bandar Matamoros di Mexico awal bulan ini, semetara seorang pemerhati Mexico turut terbunuh dalam kejadian itu.

Kartel yang bertanggungjawab terhadap insiden pembunuhan tersebut dilaporkan membuat permohonan maaf atas kejadian itu malah menyerahkan sendiri lima anggotanya yang terlibat menembak mangsa kepada pihak polis Mexico.

Insiden itu memburukkan lagi hubungan yang sedia keruh antara kedua-dua negara.

Senator Republikan, Dan Crenshaw menggesa pentadbiran Presiden AS, Joe Biden membenarkan penempatan tentera AS di sempadan untuk memerangi kartel dadah tersebut.

Presiden Mexico, Andrés Manuel López Obrador bagaimanapun menggelar cadangan itu sebagai tindakan yang ‘bongkak’ dan cubaan untuk mengancam kedaulatan Mexico.

“Kami tidak akan membenarkan mana-mana kerajaan asing campur tangan lebih-lebih lagi kemasukan angkatan tentera asing di wilayah kami.

“Saya juga akan meminta rakyat AS yang berasal dari Mexico dan Hispanik untuk tidak mengundi Republikan jika pencerobohan mereka berterusan,” tegas Obrador.-AFP/AGENSI

Ini 7 lokasi Insta-worthy patut dikunjungi

Mexico terlalu bahaya untuk dikunjungi


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Mampukah Muhyiddin Bangkit Seperti Najib

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker