Michelle Yeoh menang Oscar
LOS ANGELES : Aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh menepati ramalan ramai apabila diumum Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 yang disiar secara langsung dari Dolby Theatre, di sini, sekali gus mencipta rekod sebagai bintang Asia pertama meraih trofi bagi kategori itu dalam sejarah Oscar.
Yeoh menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).
Sejak beberapa minggu lalu, ketika ‘demam’ Oscar melanda, pengkritik filem dan media Hollywood meletakkan Yeoh sebagai antara calon ‘favourite’ meraih kategori berkenaan.
Kemenangan Yeoh yang mula mencipta nama melalui filem terbitan Hong Kong pada era 1980-an, disambut gembira peminat terutama di Malaysia yang pantas berkongsi berita itu melalui layangan Twitter dan hantaran dalam media sosial lain.
Terdahulu, Yeoh meraih kemenangan dalam kategori sama, iaitu Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29.
Ketika diumum Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe Ke-80, Januari lalu, Yeoh berkongsi pengalaman lebih empat dekad dalam dunia seni yang disifatkan sebagai perjalanan menakjubkan.
Dalam ucapannya, Yeoh teringat bagaimana dirinya ditempelak sebagai golongan minoriti ketika mula mencari tapak di Hollywood.
“Ketika itu, saya diberitahu anda adalah minoriti. Namun, saya fikir, tak mungkin begitu. Kemudian seseorang beritahu saya, kamu perlu bercakap dalam bahasa Inggeris.
“Pada saat itu, maafkan mereka kerana tidak tahu (asal usul Yeo) sama ada Korea, Jepun, Malaysia, Asia dan India.
“Saya kemudian jawab, iya, penerbangan ke sini mengambil masa 13 jam dan saya belajar bahasa Inggeris sepanjang perjalanan,” katanya.
Yeoh yang memberitahu penonton beliau meraikan ulang tahun kelahiran ke-60 tahun lalu, mengaku apabila usia meningkat, peluang untuk ditawarkan dalam filem makin berkurangan.
Namun, Yeoh berpuas hati kerana sebelum ini, beliau banyak menghasilkan naskhah hebat garapan sutradara berkaliber seperti Steven Spielberg, James Cameron dan Danny Boyle.
Sejak mula ditayangkan, penampilan Yeoh dalam filem Everything Everywhere All At Once arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert, menjadi sebutan ramai.
Filem ‘box office’ itu Mac tahun lalu yang menyaksikan Yeoh melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia.
Sejak ‘demam’ Oscar melanda, peminat termasuk pengamal media Hollywood meramalkan filem Everything Everywhere All At Once yang tercalon dalam 11 kategori, bakal mendominasi edisi ke-95 acara anugerah berprestij ini.
Filem Everything Everywhere All At Once menyaksikan Kwan dan Scheinert tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik. Turut tersenarai, Ke Huy Quan dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik serta Jamie Lee Curtis dan Stephanie Hsu masing-masing dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Anugerah Akademi Ke-95 akan dikendalikan Jimmy Kimmel. Ini adalah kali ketiga Kimmel mengacarakan Oscar, iaitu kali terakhir pada 2018.
AGENSI