CEO Pharmaniaga letak jawatan

KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Zulkarnain Md Eusope, sudah meletakkan jawatannya berkuat kuasa hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan farmaseutikal itu berkata ia adalah perniagaan seperti biasa dengan Jawatankuasa Eksekutif mengambil alih tanggungjawab dan fungsi CEO dalam tempoh sementara.

Ia berkata jawatankuasa itu terdiri daripada Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Ahmad Shahredzuan Mohd Shariff; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Zulkifli Jafar; Ketua Pegawai Operasi, Mohamed Iqbal Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Kewangan, Norai’ni Mohamed Ali.

Sementara itu, Jawatankuasa Eksekutif akan melaporkan kepada Pasukan Petugas Jawatankuasa Lembaga PN17 yang baru ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, Datuk Lim Thean Shiang.

Syarikat farmaseutikal itu baru-baru ini melaporkan kerugian bersih sebanyak RM607.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding keuntungan bersih RM172.15 juta pada tahun sebelumnya.

Ia susulan peruntukan RM552 juta untuk ‘stok vaksin COVID-19 yang bergerak perlahan’ sehingga mendorong syarikat itu berdepan masalah kewangan itu dan diletakkan di bawah kategori PN17 Bursa Malaysia.

Pendapatannya merosot 27.1 peratus kepada RM3.51 bilion daripada RM4.82 bilion berikutan terdapat permintaan yang lebih rendah daripada kerajaan untuk pembelian vaksin COVID-19.

“Bagaimanapun, kumpulan telah mencapai pertumbuhan menggalakkan dalam perniagaan konsesi apabila produk tambahan telah ditambah ke dalam senarai konsesi yang berkuat kuasa mulai separuh kedua 2021.

“Selain itu, terdapat juga sumbangan yang lebih baik daripada sektor swasta sebanyak kira-kira 50 peratus hasil daripada usaha jualan agresif yang ditambah dengan produk baharu yang dilancarkan ke pasaran sepanjang tahun ini,” katanya dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker