Moyang sempat tatap wajah piat

Washington: Seorang moyang berusia 98 tahun yang mempunyai 230 cicit, meraikan piat pertamanya.

Gambarnya meraikan kelahiran bayi itu menyentuh hati apabila turut mempamerkan enam generasi keluarganya.

Cordelia Mae Hawkins atau lebih dikenali sebagai MaeDell dengan bangganya memegang Zhavia Whitaker yang berusia tujuh minggu.



Gambar keluarga dari Kentucky, Amerika Syarikat itu tular di media sosial, selepas cucu perempuan, Gracie Howell, mendedahkan garis keturunan mereka.

Beliau mendedahkan bahawa bayi yang dilahirkan dalam keluarga itu adalah ahli keluarga ke-622.

Semuanya bermula apabila MaeDell berkahwin dengan suami pertama ketika usia 16 tahun pada tahun 1940, manakala lelaki itu berusia 34 tahun.

MaeDell menjadi ibu tiri kepada 10 anak daripada hubungan terdahulu suaminya itu, sebelum mereka kemudian dikurniakan 13 anak.



Selepas itu, kesemua 23 anaknya kemudian mempunyai anak mereka sendiri dan kini menjadi keluarga yang besar.

Gracie berkongsi gambar keluarganya di Facebook dan menulis: “Enam (mewakili) generasi yang masih hidup iaitu MaeDell, Frances, Gracie, Jacqueline, Jaisline, dan Zhavia”.

Mengulas lanjut mengenai gambar itu, Gracie berkata, ia sangat istimewa kerana semuanya perempuan.



MaeDell kini menetap di rumah jagaan orang tua dan bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-99 pada Julai depan, serta masih mempunyai ingatan yang baik.

Gracie menambah, walaupun neneknya tidak mempunyai banyak masa membesarkan anak-anaknya namun dia sentiasa memastikan mereka dijaga dengan baik.

“Dia tidak mempunyai kemudahan moden, tiada mesin basuh, tiada mesin basuh pinggan dan kemudahan air. Saya masih ingat ketika itu saya masih remaja.

“Saya tahu dia mengalami kesukaran, tetapi dia tidak merungut dalam menjalani kehidupan hariannya. Saya menyayanginya,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button