Nak sangat main ‘game’ kan…
Beijing: Angkara ketagih permainan video mudah alih (mobile game), seorang budak lelaki di China, dihukum bermain permainan itu selama 17 jam tanpa henti oleh bapanya.
Taiwan ET Today melaporkan, hukuman itu membuatkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terbabit memohon maaf kepada bapanya.
Menurut media tempatan China, kejadian itu berlaku di Shenzhen.
Menerusi rakaman video dikongsi Douyin, bapa dikenali Huang menyedari anaknya bermain permainan mudah alih secara rahsia pada 1.30 pagi waktu tempatan, 8 Mac lalu.
Huang kemudian menghantar mesej kepada anaknya memberitahu bahawa dia akan membiarkan anaknya bermain sehingga keesokan hari dengan syarat tidak boleh tidur.
Sehingga jam 7.30 pagi waktu tempatan, anaknya itu masih belum tidur.
Huang kemudian memutuskan menulis surat kepada guru memberitahu anaknya tidak dapat ke sekolah dan perlu mengambil cuti.
Huang berkata, anaknya itu tertidur kira-kira 1.30 tengah hari selepas bermain permainan video itu kira-kira 12 jam, namun dia mengejutkan kanak-kanak itu supaya meneruskan permainannya.
Hantaran video mudah alih menunjukkan bahawa matlamat Huang pada ketika itu adalah membuatkan anaknya bermain selama 24 jam.
Bagaimanapun, selepas 17 jam bermain iaitu pada jam 6.30 petang, anaknya memohon maaf dan menyedari kesilapan.
Anak lelakinya juga menulis surat dalam Bahasa Inggeris dan berjanji untuk tidak bermain permainan mudah alih sebelum tidur.
Ditanya mengapa memberikan hukuman sedemikian, Huang menjelaskan bahawa anaknya itu sering melakukan aktiviti luar bersama dan mempunyai tahap kecergasan dan gred yang baik, selain taat dengan suruhannya.
Bagaimanapun, Huang berkata, dia tidak menyarankan kaedah sebegitu kepada ibu bapa lain dalam mendidik anak mereka.
METRO