Polis siasat Muhyiddin

Kuala Lumpur: Polis membuka satu kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah.

“Pada jam 4.11 petang tadi, polis menerima satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan berhubung satu video tular di media sosial berkaitan sidang media oleh Tan Sri Mahiaddin Md Yassin (Muhyiddin) selepas beliau didakwa di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati, video berdurasi lebih kurang 11 minit 11 saat itu yang dikatakan mempunyai unsur fitnah terhadap pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara (Anwar),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut A Asmadi, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan ketidakharmonian.

Terdahulu, satu laporan polis dibuat oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan terhadap Muhyiddin, hari ini.

Laporan polis berkaitan kenyataan oleh Muhyiddin yang mendakwa kes mahkamah terhadapnya ada campur tangan politik.

Kamil berkata, laporan itu dibuat agar polis menyiasat dan mengambil tindakan kerana ia mengundang pelbagai spekulasi buruk terhadap institusi penguatkuasaan dan kehakiman negara.

Katanya, kenyataan yang dilemparkan itu adalah satu tohmahan dan fitnah untuk mencipta persepsi negatif yang tidak baik terhadap Perdana Menteri.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker