Henti jual Menu Rahmah kerana tiada sambutan
Bayan Lepas: “Keputusan saya bagi hentikan jualan Menu Rahmah ini kerana ia tidak dapat sambutan, selain lokasinya yang tidak sesuai untuk diperkenalkan menu berkenaan.
“Jadi saya minta orang ramai supaya berhenti menyalahkan kerajaan yang sudah berusaha memperkenalkan kaedah itu bagi membantu rakyat,” kata pemilik restoran Tong Kayu Kafe di Jalan Bukit Kecil, di sini.
Mohamad Fakhrullah Shahran, 30, memberi reaksi itu berikutan video mengenai keputusannya menghentikan jualan Menu Rahmah, tular selepas ia dimuat naik di media sosial premis berkenaan.
Beliau berkata, dia memperkenalkan hidangan Menu Rahmah nasi ayam kicap dan nasi ayam goreng kunyit berharga RM5 setiap satu sejak 18 Februari lalu.
Bagaimanapun, katanya, berikutan tiada sambutan dia terpaksa berhenti menjual hidangan itu Khamis lalu.
“Hidangan berkenaan tidak pernah dijual sebelum ini dan dibuat khusus bagi Menu Rahmah malah sepanjang tempoh itu, didapati tidak sampai 100 bungkusan yang dijual, menyebabkan berlaku pembaziran.
“Punca ia tidak mendapat sambutan mungkin kerana faktor lokasi premis ini yang dikelilingi kawasan perumahan berkeluarga dan bukan dalam kalangan pekerja pejabat atau perindustrian.
“Kadar sewaan premis yang tinggi juga menyebabkan saya tidak mampu lagi menanggung kerugian berikutan jualan yang tidak mendapat sambutan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menerusi video tular itu, Mohamad Fakhrullah menjelaskan mengenai pemberhentian jualan berkenaan, namun disalah anggap oleh orang ramai.
Mohamad Fakhrullah berkata, menu yang tidak mendapat sambutan itu bukan bermakna tidak sedap tetapi beberapa hidangan lain yang dijual di restorannya juga mendapat sambutan menggalakkan.
Katanya, terdapat sebanyak 33 jenis hidangan lain berharga antara RM7 hingga RM19 setiap satu, mendapat sambutan menggalakkan dengan penjualan melebihi 100 bungkus sehari.
“Saya juga tidak salahkan orang ramai terutama warganet kerana mungkin mereka hanya salah faham dan diharap selepas ini sudah tidak timbul lagi isu berkenaan selain berhenti mengaitkannya dengan politik.
“Saya tidak pernah menyesal memperkenalkan Menu Rahmah kerana sempat berbuat amal sedekah dengan jualan yang murah kepada orang ramai, mungkin jika dijual di lokasi yang sesuai, ia dapat bantu golongan sasar,” katanya.
METRO