Inter Milan ke suku akhir Liga Juara-Juara

PORTO, Portugal: Inter Milan menahan asakan Porto untuk seri 0-0 awal pagi tadi seterusnya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara menerusi agregat 1-0.

Skuad dari Itali itu yang juga juara tiga kali kejohanan, mara ke kelompok lapan terakhir buat kali pertama sejak 2011.

Buat pertama kali sejak 2006, Inter dan AC Milan mara ke suku akhir.



Mengambil kelebihan satu gol daripada jaringan Romelu Lukaku pada aksi pertama kelompok 16 terakhir, Inter dijangka akan kecewa di Estadio do Dragao.

Porto lebih baik dalam aksi berkenaan tetapi hanya mampu menguji penjaga gol Inter, Andre Onana beberapa kali dan gagal mara ke kelompok lapan terakhir buat kali ketiga dalam lima cubaan.

Cubaan terbaik mereka hadir pada penamat saingan apabila sepakan Mehdi Taremi dan Marko Grujic masing-masing terkena palang dan cubaan Marcano juga diselamatkan atas garisan gol.



“Terlalu banyak emosi ketika ini, selepas bertahun-tahun kami bangga dengan pencapaian ini,” kata pemain tengah Inter, Hakan Calhanoglu.

“Kami membuat sedikit kesilapan tetapi melakukan tugas dengan hebat, ini amat sukar tetapi saya mengucapkan tahniah kepada pasukan kerana tugas yang hebat ini.”

Inter berdepan kritikan kerana prestasi mereka dalam liga domestik tetapi Calhanoglu berkata ia memberikan semangat tambahan.

“Apa sahaja boleh berlaku dalam Liga Juara-Juara – perlawanan ini mengembalikan motivasi buat kami,” katanya.



“Kami melakukan tugas yang hebat, kami tidak menjaringkan gol tetapi kami bekerja keras hingga wisel penamat dan kami layak.”

Jurulatih Inter, Simone Inzaghi, yang menyasarkan untuk menamatkan prestasi buruk di tempat lawan, memulakan permainan dengan Edin Dzeko dan Lautaro Martinez di bahagian depan sementara Romelu Lukaku di bangku simpanan.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button