Mahkamah Rayuan Paris kekal penangguhan Final Award dituntut Kumpulan Sulu

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Paris menolak tuntutan Kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan ‘Final Award’ seperti yang dimohon Malaysia bagi mengenepikan perkara itu, semalam.

Dalam penghakimannya itu, Mahkamah Rayuan Paris menyatakan tuntutan yang difailkan Kumpulan Sulu sebagai pihak yang menuntut itu tidak boleh diterima.

Oleh itu, keputusan yang diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022 untuk menangguhkan penguatkuasaan Final Award itu kekal.

Perkara itu dimaklumkan Sekretariat Khas bagi Menangani Isu Tuntutan Warga Filipina yang mengaku sebagai Waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap Malaysia dalam satu kenyataan, hari ini.

Sekretariat itu berkata, Malaysia memohon menangguhkan penguatkuasaan ‘Final Award’ itu pada 15 April 2022 lalu yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa pada Februari 2022 di Paris.

Pada 12 Julai 2022, hakim pra-perbicaraan Mahkamah Rayuan Paris memerintahkan penangguhan penguatkuasaan tanpa syarat di Perancis sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan Paris, atas alasan ia berkemungkinan menjejaskan kedaulatan wilayah Malaysia.

Pada 27 Julai 2022, Kumpulan Sulu memfailkan tuntutan mencabar perintah itu, yang mana perbicaraan mengenainya diadakan pada 16 Januari lalu.

Malaysia menegaskan perintah penangguhan diberikan pada 12 Julai 2022 itu satu keputusan yang luar biasa berfungsi mengukuhkan kedudukan Malaysia bahawa timbang tara komersial yang dikemukakan Kumpulan Sulu itu tidak mempunyai asas yang sah dan menjejaskan kedaulatan wilayah Malaysia.

“Malaysia akan terus mempertahankan diri melalui saluran perundangan bagi mengatasi semua bentuk tuntutan undang-undang yang dikemuka mana-mana kumpulan penentang,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker