Alunan ayat suci al-Quran ‘jentik’ hati

Kluang: Alunan bacaan ayat suci al-Quran oleh rakan membuka pintu hati seorang banduan untuk mendalami sebelum membuat keputusan memeluk Islam ketika menjalani hukuman penjara.

Lebih mengagumkan apabila enam tahun selepas itu, banduan dikenali sebagai Asrul, 27, berjaya menghafaz 15 juzuk al-Quran, menjadi imam selain tenaga pengajar mengaji kepada rakan banduan lain.

Menceritakan semula pengalaman terjebak dengan jenayah, Asrul berkata, dia dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun serta lima sebatan atas kesalahan rogol gadis bawah umur.

“Semasa saya ditempatkan di Penjara Kluang untuk menjalani hukuman, saya terdengar rakan (banduan) mengaji al-Quran setiap hari. Dari situ, terdetik hati untuk belajar mengaji dan saya suarakan niat itu kepada rakan satu sel sebelum dia memaklumkan kepada wardar.

“Selepas memeluk Islam pada 2016, saya ditempatkan ke Sekolah Agama Tarbiah Husnul Khatimah yang berada di dalam penjara untuk mendalami agama ini serta belajar mengaji al-Quran pada 2017,” katanya ketika ditemui di Pusat Reintegrasi Penghuni, di sini, baru-baru ini.

Asrul yang berasal dari Sarawak ditempatkan di pusat berkenaan pada 12 Januari lalu memandangkan tempohnya menjalani baki hukuman penjara kurang tiga tahun dengan tarikh bebas pada 24 Februari 2025.

Menurutnya, dia mengambil masa kira-kira setahun untuk belajar mengaji al-Quran selepas masuk ke sekolah agama berkenaan.

“Atas kekangan masa dan program, saya mengambil masa beberapa bulan untuk menghafal satu juzuk al-Quran. Kini, saya sudah berjaya menghafal 15 juzuk dan bertekad untuk menghafal kesemua juzuk.

“Ini kerana saya berasa tenang setiap kali mengaji dan menghafal al-Quran,” katanya yang memaklumkan keputusan memeluk Islam direstui keluarganya.

Dulu banduan kini tauke halia

Kehidupan seorang bapa berubah 360 darjah apabila terpaksa meninggalkan cahaya matanya yang baru berusia empat bulan selepas dijatuhkan hukuman penjara akibat bergaduh kira-kira empat tahun lalu.

Lebih memilukan apabila Mohd Fadzrul Hakim Othman

, 34, sukar menerima kenyataan dan bergelut untuk menyesuaikan diri untuk tempoh beberapa bulan awal dalam penjara yang menjadi pengalaman gelap dalam hidupnya.

Mohd Fadzrul, 34, berkata, meskipun rutin harian berubah apabila berada di penjara, namun dia bersyukur kerana dipertemukan dengan insan hebat yang sentiasa memberi nasihat dan mengajak untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.

“Masa masuk (penjara) memang tak tahu nak cakap macam mana perasaan. Masa itu anak baru empat bulan, memang sedih tetapi nasib baik isteri selalu bawa anak melawat. Tetapi sekarang kami dah berpisah.

“Pengalaman di dalam (penjara) itu yang membuatkan saya bertekad untuk berubah, demi anak dan keluarga. Memang susah nak biasakan diri, saya pun tak pernah kena penjara sebelum ini. Jadi bila dah bebas saya berusaha keras untuk mengubah diri.

“Saya usahakan projek kebun halia di Pekan, Pahang bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di mana hasil jualan akan dibahagi kepada peserta yang terdiri daripada golongan nelayan,” katanya.

Berkongsi cerita, Mohd Fadzrul yang sudah tiga dekad menetap di Pekan, Pahang berkata, semuanya bermula apabila arwah adiknya mengusahakan projek tanaman halia dengan harapan dapat membantunya apabila bebas kelak.

Menurutnya, niat adiknya tidak kesampaian apabila arwah meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang sekitar Julai 2021 ketika dia sedang menjalani parol di Shah Alam.

“Saya pulang ke kampung lepas dapat parol kediaman pada September (2021), dua bulan selepas adik meninggal dunia. Saya tekad nak mulakan projek tanaman ini, sambung projek adik saya.

“Sebelum ini saya bekerja sendiri buat kerja pendawaian dan baiki rumah. Sejujurnya saya memang tak ada pengalaman bidang pertanian ini.

“Tetapi saya dah tekad nak sambung projek adik, sebenarya banyak lagi projek yang kami dah rancang, tapi dia sudah ditakdirkan untuk pergi dulu,” katanya.

Menurutnya, selepas hampir dua tahun mengusahakan kebun berkenaan, dia kini mampu menanggung perbelanjaan keluarga dengan pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan malah mampu menggajikan tiga orang pekerja untuk membantu di kebun.

“Sekarang saya bersyukur selepas tolak semua kos perbelanjaan, saya mampu sara keluarga, bekas isteri pun duduk berdekatan, jadi saya selalu dapat jumpa anak perempuan yang kini berusia empat tahun.

“Ibu, bapa dan ahli keluarga serta kawan lama banyak bantu, malah tidak menjauhkan diri walaupun saya bekas banduan,” katanya.

‘Wadar perlu ada jiwa’

Bertugas sebagai wardar sejak 15 tahun lalu bukan pengalaman mudah dilalui oleh Sarjan Zureen Aizad Tajudin dalam usahanya membantu memulihkan golongan banduan supaya kembali ke pangkal jalan.

Zureen, 35, berkata, dia perlu berusaha tanpa putus asa bagi memulihkan banduan kerana ramai dalam kalangan golongan itu yang tidak terfikir untuk mengubah kehidupan ke arah yang baik.

“Pada dasarnya, siapa yang mahu dimasukkan ke dalam penjara dan apabila terpaksa menjalani hukuman, minda mereka hanya berfikir untuk menyelesaikan tempoh hukuman semata-mata tanpa ada matlamat lain termasuk membuat perubahan diri.

“Justeru, Jabatan Penjara menetapkan empat fasa utama yang perlu dijalani oleh banduan iaitu fasa 1: orientasi; fasa 2: pengukuhan sahsiah; fasa 3: kemahiran dan fasa 4: reintegrasi.

“Bagi setiap fasa ini, ia bergantung kepada tempoh banduan terbabit menjalani hukuman penjara,” katanya.

Zureen yang bertugas di Penjara Pokok Sena, Kedah, berkata kebanyakan banduan tidak melihat penjara sebagai institusi pendidikan meskipun ia mempunyai kemudahan sekolah dalam penjara untuk golongan berkenaan.

“Pada pendapat saya, wardar perlu ada jiwa dalam membantu banduan supaya ada ikatan antara kami yang membuka peluang untuk mereka berubah. Disebabkan itu, ada ramai dalam kalangan banduan yang dikendalikan masih menghubungi saya meskipun sudah keluar penjara.

“Kebanyakan banduan tidak ada rasa ambil berat terhadap wardar, namun saya pernah berdepan situasi dipeluk dengan erat oleh mereka sehingga basah baju akibat peluh. Mereka meluahkan tidak pernah dipeluk erat oleh orang lain yang mendorong kepada perubahannya ke arah kebaikan,” katanya

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker