Peniaga hilang RM580,000 diperdaya ‘Tengku Gay’

 

Seorang peniaga lelaki kerugian RM580,000 akibat diperdaya ‘teman lelakinya’ yang mengaku kerabat istana selepas mangsa berkenalan menerusi aplikasi sembang sosial golongan sejenis pada Mei lalu.

Suspek yang menggunakan gelaran Tengku itu juga turut mengugut mahu menyebarkan video bogel mangsa berusia 20-an jika enggan membuat pemindahan wang seterusnya seperti diminta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata mangsa berkenalan dengan suspek melalui aplikasi sembang sosial golongan sejenis pada 30 Mei lalu dan keesokannya suspek bertanyakan mengenai emas.

SERAH BARANG KEMAS RM370,000 BUKTI KASIH SAYANG

Beliau berkata, mangsa menyatakan ibunya memiliki barang kemas bernilai RM370,000, menyebabkan suspek meminta lelaki itu menyerahkan barangan berkenaan untuk dilihatnya sebagai bukti kesetiaan dan kasih sayang mangsa kepadanya.

“Mangsa yang terpedaya dengan janji suspek akan memulangkan kembali barangan kemas itu membuat penghantaran secara dua peringkat iaitu pada 31 Mei menggunakan perkhidmatan teksi, diikuti pada 2 Jun lalu dengan Grabcar kepada pembantu peribadi ‘Tengku’ yang kononnya berada di Kota Bharu,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

 



Shafien berkata, sepanjang tempoh perkenalan juga, mangsa turut membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM201,000 ke dua akaun bank milik individu pihak ketiga atas alasan sama iaitu menunjukkan kesetiaan dan kasih sayang, malah dia juga dijanjikan hadiah sebuah kenderaan trak pikap.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis pada Selasa lalu selepas berasa ditipu suspek kerana mereka tidak pernah berjumpa seperti dijanjikan, malah suspek tidak memulangkan kembali barangan emas milik ibunya itu.

MANGSA DIUGUT DENGAN VIDEO BOGEL

“Lebih malang, suspek juga terus memaksa mangsa menyerahkan wang kepadanya termasuk mengugut untuk menyebarkan video bogel mangsa.

“Kes kini dalam siasatan polis kerana kesalahan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum hingga 10 tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda,” katanya.

Shafien mengingatkan orang ramai sentiasa berwaspada ketika berurusan dalam talian dan tidak terpedaya dengan janji manis individu baru dikenali serta berhati-hati dengan sindiket Love Scam bagi mengelak menjadi mangsa seterusnya.

Beliau juga menyarankan memuat turun secara percuma aplikasi telefon pintar ‘Check Scammers CCID’ untuk membuat semakan nombor akaun bank dan nombor telefon digunakan sama ada pernah terbabit dalam kes jenayah komersial.

“Selain itu semakan secara terus kepada pihak kami apabila menerima panggilan meragukan juga boleh dibuat atau menghubungi ‘CCID Scam Response Centre’ di talian 03-26101559 dan 03-26101599 yang ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman untuk membuat pertanyaan berkaitan jenayah love scam/parcel scam atau lain-lain jenayah penipuan siber,” katanya.

bh

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker