Sistem kesihatan awam berdepan krisis

Ramai pertimbang letak jawatan

KUALA LUMPUR: Sejumlah 95 peratus daripada 1,652 kakitangan kesihatan, termasuk doktor kerajaan dan jururawat di negara ini menyatakan sistem kesihatan awam negara berdepan krisis, dengan 73 peratus daripadanya sedang mempertimbangkan untuk meletak jawatan.

Satu tinjauan diterbitkan laman web berita kesihatan CodeBlue, mendapati hanya dua peratus daripada jumlah keseluruhan responden itu tidak bersetuju dengan krisis dalam sistem kesihatan, manakala dua peratus lagi adalah tidak pasti.

Dapatan tinjauan itu juga mendapati 53 peratus daripada responden yang sebahagiannya golongan profesional, bersetuju dengan status ‘sangat marah’ akan situasi semasa sistem kesihatan awam, mengikut skala sifar hingga empat.

Menerusi tinjauan permasalahan yang dihadapi ketika berkhidmat pula, sebanyak 83 peratus merasakan kerajaan bersikap remeh dalam menangani isu sistem kesihatan awam.

Sejumlah 80 peratus dalam kalangan responden pula bersetuju bahawa mereka tidak dibayar dengan gaji setimpal, manakala 78 peratus menyatakan bebanan kerja mereka terlalu berat.

Soal selidik dalam talian oleh CodeBlue yang dijalankan secara eksklusif itu mendapati sejumlah 74 peratus merasakan diri mereka sedang menghadapi tekanan atau ‘burnout’, malah 61 peratus merasakan perkembangan kerjaya mereka dalam sektor kesihatan awam negara tidak terjamin.

Lebih kritikal, terdapat penyataan sebanyak 25 peratus responden mengaku mereka dibuli di tempat kerja, dan dua peratus lagi mengalami gangguan seksual di tempat kerja.

Tinjauan itu turut mendapati 73 peratus daripada doktor kerajaan (merentasi tahap kekananan), pegawai farmasi, pegawai pergigian, jururawat, penolong pegawai perubatan, dan pekerja penjagaan kesihatan bersekutu dalam sektor awam di Malaysia, mempertimbang untuk meletak jawatan dalam sektor kesihatan awam.

Malah, lebih separuh daripada mereka bersetuju akan mengambil bahagian jika ada pihak yang menganjurkan mogok atau hartal untuk ahli profesional atau pekerja kesihatan dalam sektor awam, dengan hanya 14 peratus menyatakan tidak setuju.

Menariknya, CodeBlue mendedahkan, hampir dua pertiga mereka yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu adalah kumpulan pegawai perubatan, iaitu sebanyak 64 peratus, diikuti pegawai perubatan siswazah (11 peratus), pakar perubatan (lapan peratus), pegawai farmasi (lapan peratus), pegawai perubatan subpakar (tiga peratus), penolong pegawai perubatan (dua peratus), pegawai pergigian (dua peratus) dan jururawat (satu peratus).

Kebanyakan yang terbabit juga adalah mereka yang berkhidmat di hospital Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu sebanyak 77 peratus, manakala 16 peratus di klinik kesihatan dan lima peratus lagi di hospital mengajar.

Dari segi jantina yang mengambil bahagian dalam tinjauan ketidakpuasan hati itu pula, 53 peratus adalah wanita serta 40 peratus lagi lelaki, dengan separuh daripada 1,652 itu adalah mereka yang berumur 30 hingga 39 tahun.

Dalam perkembangan sama, tinjauan itu turut mendapati kakitangan kesihatan di Selangor paling tinggi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan kesihatan negara, iaitu sebanyak 25 peratus, diikuti Kuala Lumpur (15 peratus), Sabah (sembilan peratus), Pulau Pinang (sembilan peratus) dan Perak (enam peratus).

Di Johor (lima peratus), Negeri Sembilan (lima peratus), Pahang (tiga peratus), Kedah (tiga peratus), Melaka (tiga peratus), Terengganu (tiga peratus), Kelantan (dua peratus), Putrajaya (dua peratus), Perlis (0.4 peratus) serta Labuan (0.1 peratus).

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker