Haaland dicabar ledak 60 gol semusim

London: Alan Shearer berasakan Erling Haaland boleh menjaringkan 60 gol musim ini selepas menambah jumlah jaringan peribadinya kepada 42 ketika Manchester City membelasah Burnley 6-0, awal pagi tadi.

Haaland menjaringkan hatrik ketika City meraih kemenangan dalam pertembungan suku akhir Piala FA itu, hatrik kali keenam dan kali kedua dalam tempoh lima hari.

Selepas menjaringkan lima gol ketika The Citizens menewaskan RB Leipzig 7-0 dalam Liga Juara-Juara, dia meneruskan momentum itu awal pagi tadi dan Shearer meramalkan pemain sensasi berusia 22 tahun itu mampu meledak lebih banyak gol.



“Dia hidup untuk menjaringkan gol,” kata Shearer, yang kekal memegang rekod selaku penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana.

“Ada pemain mungkin akan berkata ‘saya mahu menjaringkan 20 gol’. Dia dilihat mahu meledak 30, 40, 50, malah mungkin mampu menjaringkan sehingga 60 gol musim ini.

“Mereka yang hebat dan terbaik tidak pernah berasa puas hati kerana perasaan menjaringkan gol itu sangat bermakna.”



Walaupun Haaland sudah melakar rekod pada musim pertamanya di City, pemain antarabangsa Norway itu tidak meletakkan sasaran tertentu pada baki musim ini.

“Saya seorang penyerang, saya suka menjaringkan gol, tetapi fokus saya bukan pada menjaringkan gol tetapi untuk mendapatkan peluang.

“Jika saya mendapat peluang, bermakna ada peluang yang baik untuk menjaringkan gol,” katanya.

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button