Ultras PSG bengang dengan Messi
Paris: Ultras Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan mereka merancang protes terhadap Lionel Messi apabila pasukan itu menentang Rennes dalam aksi Ligue 1 di Parc des Princes, tengah malam ini.
Selepas mengharungi 17 tahun yang cemerlang bersama Barcelona, Messi, 35, bergelut untuk mengulangi prestasi itu sejak tiba di Paris pada 2021.
Pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu juga masih gagal membantu PSG menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali pertama selepas disingkirkan oleh Bayern Munich di pusingan 16 akhir biarpun cemerlang membantu Argentina menjulang Piala Dunia.
Messi yang ditugaskan mengetuai PSG untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara, gagal menyerlah dalam kedua-dua perlawanan menentang juara enam kali, Bayern yang menyaksikan mereka tewas 2-0 dan 0-1.
Penyokong tegar kelab itu sudah muak dan merancang untuk mencemuhnya dalam pertembungan tengah malam ini kerana percaya, kontrak lumayan legenda Barcelona itu tidak menggambarkan prestasinya di atas padang.
Salah seorang Ultras PSG memberitahu akhbar Sepanyol, Mundo Deportivo yang dia dan penyokong lain akan mengejek pemain berusia 35 tahun itu sepanjang perlawanan.
“Dia dibayar gaji yang terlalu tinggi sedangkan apa yang dia lakukan di atas padang pula sebaliknya,” katanya.
Begitupun, wartawan portal sukan Perancis, RMC, Arthur Perrot menafikan informasi itu kerana menganggap Ultras PSG telah membina hubungan baik dengan Messi dan Neymar.
Kontrak Messi dengan PSG pada hujung Jun ini, dan sehingga kini dia masih tidak menyatakan persetujuan untuk kekal di Perancis.