Didik anak solat sempurna

SERAMAI 250 kanak-kanak menyertai Kem Khalifah Superb bagi mengisi masa lapang sempena cuti sekolah di Masjid Hadhari, Jertih, Besut, Terengganu baru-baru ini.

Peserta terdiri daripada kanak-kanak berusia tujuh sehingga 12 tahun mengikuti kem yang diadakan selama sehari bermula jam 7.30 pagi sehingga 5.30 petang.

Kem yang dianjurkan pengurusan Masjid Hadhari Jertih dengan kerjasama pihak swasta El-Qurtubiy Quranic Centre mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Antara pengisian program seperti mempelajari cara solat yang betul, pengurusan jenazah dan riadah santai.

Majlis perasmian penutup dirasmikan Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Hadhari Jertih, Baharudin Ibrahim.

Baharudin berkata, program berkenaan menarik minat golongan muda mendekati masjid dan mempelajari pelbagai ilmu agama secara lebih santai.

“Ilmu pengurusan jenazah yang diajar secara teori dan praktikal juga membantu mereka mendapat gambaran awal bagaimana proses menguruskan jenazah sebenar dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, peserta program, Muhamad Saif Al Fateh Muhamad Supardi, 8, berkata, dia seronok dapat mengikuti kem itu kerana berpeluang berkenalan dengan ramai kawan baru.

“Dalam kem itu, kami diajar cara solat yang betul selain menunaikan solat Zuhur dan Asar secara berjemaah di masjid.

“Ketika sesi pengurusan jenazah, kami berpeluang melakukan teori dengan membalut kain kafan pada botol air mineral sebagai simbolik kepada jenazah sebenar.

“Selain itu, kami turut melakukan aktiviti ‘outdoor’ di pekarangan masjid secara berkumpulan,” katanya.

Sementara itu, waris

peserta, Muhamad Supardi Harun, 37, berkata, aktiviti seperti itu melatih peserta lebih berdikari dan bergaul dengan peserta baru dikenali sebagai satu pasukan.

“Walaupun kem hanya satu hari, namun ilmu diperoleh dapat dipraktikkan sepanjang masa terutama cara solat

yang betul,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker