Mitoma dalam radar Man United

MANCHESTER: Manchester United berminat mendapat pemain Brighton, Kaoru Mitoma sebagai persiapan untuk menghadapi musim hadapan.

Pemain Jepun itu antara bintang utama Brighton musim ini dan menjadi tonggak pasukannya dalam memburu tempat ke pentas Eropah, serta mara ke separuh akhir Piala FA.

Persembahannya menarik minat kelab-kelab gergasi Inggeris dan mereka mula menghantar penilai bakat bagi melihat lebih dekat penyerang sensasi Brighton itu.

Ia bukan perkara asing bagi United untuk menghantar penilai bakat mereka ke perlawanan Liga Perdana Inggeris membabitkan pasukan lain, namun kehadiran mereka di perlawanan-perlawanan Brighton hanya tertumpu kepada Mitoma.

Bagaimanapun United berpeluang melihat aksi pemain 25 tahun itu lebih dekat lagi apabila kedua-dua pasukan bertembung di separuh akhir Piala FA di Wembley bulan depan.

Mitoma tiba dari kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada tahun 2021, dan menghabiskan musim lalu secara pinjaman di kelab Belgium, Union Saint-Gilloise.

Dia membuat penampilan pertama ketika pusingan kedua Piala Liga di mana Brighton menewaskan Forest Green Rovers pada Ogos dan terus menjadi tumpuan musim ini.

Mitoma sudah meledak sembilan gol untuk skuad kendalian Roberto De Zerbi dan melakukan enam umpanan gol dalam semua kejohanan.

The Seagulls cukup berjaya dalam menjual aset berharga mereka dengan harga tinggi sejak beberapa tahun lalu, antaranya Marc Cucurella, Yves Bissouma, Ben White, Leandro Trossard dan Dan Burn yang membawa keuntungan besar kepada kelab.

Pengendali Manchester United, Erik ten Hag akan merombak skuadnya pada musim panas ini bagi memberi laluan kepada pemain-pemain baharu seperti Mitoma.

Anthony Elanga dan Anthony Martial antara yang akan dilepaskan pengendali dari Belanda itu, sekali gus menyaksikan pemain baharu bakal membarisi United di posisi berkenaan.

Penyerang England dan Tottenham, Harry Kane antara yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford pada musim panas ini.

Skuad kendalian Ten Hag masih berada di landasan terbaik untuk memenangi treble musim ini selepas memenangi Piala Liga pada Februari, mara ke suku akhir Liga Europa bertemu Sevilla dan ke separuh akhir Piala FA menentang Brighton.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker