Nafas baharu bermula Ramadan

TABIAT merokok memang sukar dihentikan terutama perokok tegar meskipun mereka tahu risiko bakal ditanggung hingga boleh membawa maut.

Mungkin ada terdetik dan sesetengahnya mencuba, tetapi dek kerana ketagihan sukar dibendung mereka kembali merokok.

Namun, ketika Ramadan ramai berjaya menahan daripada merokok sepanjang 14 jam berpuasa, meskipun ada yang capai rokok dulu sebaik masuk waktu iftar.

Berdasarkan kajian Kepercayaan Agama dalam Merokok: Kajian dalam kalangan lelaki Islam pada Ramadan diterbitkan Malaysian Journal of Public Health Medicine, mendapati 97 peratus individu mengatakan lebih mudah berhenti merokok pada Ramadan.

Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2016, mengenai Kesan Intervensi Berhenti Merokok Berasaskan Akidah pada Ramadan dalam Kalangan Perokok Melayu, mendapati penurunan ketara paras nikotin dalam air liur perokok ketika berpuasa dengan intervensi perubahan tingkah laku, perokok tidak merokok selepas Ramadan.

Justeru, bagi membantu perokok berhenti merokok, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan kempen ‘Nafas Baharu Bermula Ramadan’ bagi menggalakkan perokok memanfaatkan kedatangan Ramadan melakukannya.

14 jam berpuasa pupuk disiplin berhenti merokok

Menurut Ketua Penolong Pengarah Sektor Anti Merokok dan Pendidikan Pesakit, Cawangan Mobilisasi Komuniti Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM, Wan Azrin Izani Wan Mohd Zain, sejak 2013 KKM melancarkan kempen itu sejajar inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) meningkatkan kawalan kesihatan kendiri dengan memanfaatkan perkhidmatan kesejahteraan ditawarkan.

Katanya, Ramadan waktu efektif dan bermanfaat perokok berhenti merokok dan mengubah tahap kesihatan menjadi lebih baik.

“Tempoh 14 jam berpuasa dapat membentuk disiplin perokok dengan menghentikan pengambilan rokok dan vape.

“Ramadan memberi kebaikan dan berkat dengan ibadah itu, selain beri peluang perokok memperbaiki diri memasuki fasa baru kehidupan iaitu, bebas asap rokok seterusnya menolak kemudaratan termasuk menggunakan produk seperti vape yang kononnya boleh mengurangkan tabiat merokok,” katanya mengulas tema kempen Menjemput Berkat, Menolak Mudarat.

Tip 5S untuk berhenti merokok sempena Ramadan

Dengan kempen Nafas Baharu Bermula Ramadan bertemakan ‘Menjemput Berkat, Menolak Mudarat’, tahun ini menggariskan beberapa tip kepada ahli keluarga dan rakan dalam membantu perokok menghentikan tabiat negatif antaranya tip ‘5S’.

SISIH

Membuang atau mengeluarkan sebarang produk tembakau seperti rokok, vape dan tempat habuk rokok daripada rumah dan kawasan sekitarnya.

SUSUN

Ramadan masa berkualiti umat Islam, maka jadual kehidupan boleh disusun dalam memenuhi tuntutan rohani untuk beribadat dan melakukan kebaikan kepada orang lain. Malah takrifan ibadat amat luas termasuk melakukan kebaikan bukan memberikan ‘sedekah’ asap rokok kepada orang lain seterusnya meletakkan kesejahteraan kesihatan sebagai keutamaan dalam hidup.

SAPU

Membersihkan kediaman dan ruang kerja daripada sisa asap dan habuk rokok. Kesan tabiat merokok bukan sahaja kepada perokok itu sendiri (first hand smoke) tetapi kesan buruk kepada orang lain di sekitar mereka iaitu asap rokok sekunder (second hand smoke) dan asap rokok tertier (third hand smoke) sisa kimia rokok ditinggalkan walaupun selepas perokok meninggalkan ruangan itu.

“Sebagai contoh, jika ada ahli keluarga merokok di ruang tamu, sisa kimia rokok masih lagi tertinggal pada permukaan ruang seperti perabot, permaidani, langsir, peralatan rumah dan sebagainya.

“Ini sekali gus berbahaya kesihatan dan berisiko mendapat kanser,” katanya

SERAGAMKAN

Seragamkan niat diri dan matlamat mahu berhenti merokok agar setiap insan di sekelilingnya dapat memberikan sokongan dan membantu perubahan positif tingkah laku ke arah hidup lebih sihat sejahtera.

SENTIASA AMALKAN

Langkah Nafas Baharu Bermula Ramadan, sebagai beristiqamah ke arah kebaikan mengamalkan budaya hidup sihat walaupun selepas puasa.

Masyarakat khususnya keluarga dan rakan terdekat memainkan peranan penting membantu meninggalkan tabiat buruk dengan memberi bimbingan dan nasihat sebagai dorongan berhenti merokok.

Tip A-B-C-D

Wan Azrin Izani berkata, berhenti rokok boleh menjadi semudah A-B-C-D untuk individu terbabit berhenti merokok kerana Ramadan boleh menjadi wadah perubahan dalam segenap aspek termasuk perokok:

AZAM

Berazam berhenti merokok dengan memulakan niat baik yang akan diberikan ganjaran Allah SWT.

BIMBING

Ahli keluarga dan rakan perlu membimbing perokok untuk tidak merokok dengan menasihati dan beri sokongan supaya mereka mendapatkan khidmat berhenti merokok di fasiliti kesihatan.

CAKNA

Orang di sekeliling perokok perlu sentiasa bertanya khabar dan peka dengan usaha individu ingin berhenti merokok berasa dihargai dan disayangi.

DIDIK

Ketagihan merokok berbeza antara setiap perokok dengan waktu berbuka puasa dan bersahur adalah detik kritikal mereka cuba kembali mendapatkan rokok termasuk menegur cara baik dan berhemah mengikut kempen Speak Out: Suarakan Hak Anda Untuk Udara Bersih.

Sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti

Wan Azrin Izani berkata, antara kaedah lain perokok boleh menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti untuk melengahkan keinginan merokok.

Apabila masuk waktu iftar, perokok jauhi atau menghidu asap rokok, mengelakkan bersama dengan ahli keluarga atau rakan yang merokok semasa berbuka.

Minum banyak air kosong dan makan buah-buahan sebagai snek sebagai langkah menangani ketagihan kembali merokok.

“Tetapkan 1 Ramadan sebagai tarikh berhenti merokok supaya matlamat tercapai.

“Perokok perlu memaklumkan kepada ahli keluarga dan rakan terdekat niat berhenti merokok supaya mendapat sokongan mereka,” katanya.

Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok

KKM menawarkan Perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok melalui perubahan tingkah laku menerusi bimbingan dan nasihat selain pemberian ubat-ubatan kepada individu memerlukannya.

“Sepanjang intervensi berhenti merokok, klien akan dibimbing dengan teknik bersesuaian untuk mengubah tingkah laku mereka.

“Pegawai pendidikan kesihatan di hospital terpilih mempunyai kepakaran memberi khidmat berhenti kepada perokok seperti aspek kognitif dan tingkah laku menangani masalah ketagihan nikotin tanpa menolak keperluan jika ubat-ubatan perlu diberikan atas nasihat pakar.

“Jika tidak dapat berhenti sepenuhnya, ambil langkah kurangkan bilangan batang rokok yang dihisap,” katanya merokok berisiko mendapat serangan jantung, jantung koronari, strok, vaskular periferal dan pelbagai lagi yang menyumbang kepada peningkatan beban penyakit tidak berjangkit di Malaysia.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker