Suami isteri dituduh jual anak OKU untuk eksploitasi seks

Butterworth: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memperdagangkan anak perempuan mereka yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran untuk tujuan eksploitasi seks.

Tertuduh yang juga bapa tiri mangsa dan isterinya bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan serentak terhadap mereka di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa memperdagangkan anak perempuan berusia 20 tahun lapan bulan bagi tujuan eksploitasi seks yang mana mangsa adalah seorang yang tidak dapat menjaga atau melindungi dirinya.



Kejadian itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bukit Mertajam dekat sini, antara Januari hingga 14 Februari lalu.

Lelaki itu dan isterinya yang bekerja sebagai tukang urut didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 ( Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan juga boleh disebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun, manakala kedua- dua tertuduh tidak diwakili peguam.



Ketika prosiding, Qatrin Nada memaklumkan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.

Tiada rayuan dibuat kedua-dua tertuduh sebelum mahkamah melepaskan mereka berdua dengan jaminan RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan iaitu pada awal bulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 20 April depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button