Rahsia gerai lemang dibongkar

Sungai Petani: Sebuah gerai di kawasan Bedong, di sini, yang disangka hanya menjual lemang rupanya turut menjadi tempat jual beli dadah, Rabu lalu.

Ketika serbuan 6 petang itu, peniaga lemang, 62, sedang berurusan dengan pelanggan lelaki, 33, di belakang gerai.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis menahan empat lelaki termasuk peniaga lemang serta lelaki disyaki pelanggan dan dua pekerja berusia 18 dan 20 tahun.



“Hasil pemeriksaan menemui 17 ketulan mampat ganja dalam gerai terbabit yang dianggarkan seberat lebih 18 kilogram (kg) bernilai RM45,125 yang disyaki untuk pasaran tempatan.

“Suspek kedua iaitu pelanggan yang ditahan dipercayai datang ke gerai itu untuk mengambil bekalan ganja berkenaan namun tidak sempat apabila dicekup polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.

Zaidy berkata, polis turut menyita kereta milik suspek pertama bernilai RM39,800 serta wang tunai RM550.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, peniaga lemang terbabit mempunyai dua rekod jenayah lampau dan suspek kedua yang masih bujang dan tidak bekerja mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah manakala suspek ketiga dan keempat pula bekerja sebagai buruh.



“Suspek keempat mempunyai satu rekod berkaitan dadah dan masih dikehendaki,” katanya.

Suspek pertama dan kedua direman bermula 6 April hingga 12 April manakala dua lagi suspek direman bermula 6 April hingga 10 April.

“Kita percaya bekalan dadah jenis ganja itu diperoleh dari Pulau Pinang dan perniagaan lemang itu adalah kerja sampingan suspek pertama,” katanya.

Zaidy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button