‘Kuda tua’ idam beraksi di Euro tahun depan

Solna: Penyerang veteran, Zlatan Ibrahimovic berharap dapat beraksi di Euro tahun depan walaupun usianya sudah tua, ketika skuad Sweden sedang melakukan persiapan untuk perlawanan kelayakan pertama menentang Belgium, awal pagi Sabtu ini.

“Saya tidak mahu fikir jauh ke hadapan, memandangkan apa yang saya lalui dengan kecederaan dan sebagainya. Jika saya berasa sihat secara fizikal, saya akan teruskan,” kata penyerang veteran AC Milan itu kepada pemberita, apabila ditanya sama ada dia berhasrat untuk bermain di Euro 2024 di Jerman, sekiranya Sweden layak.

Pada hujung minggu lalu, Ibrahimovic mencipta sejarah apabila muncul pemain tertua menjaringkan gol dalam Serie A Itali.

Walaupun gembira dengan pencapaian itu, pemain berstatus bintang itu berkata dia masih mahu ‘dibandingkan dengan orang lain’ dan bukan hanya mahu diingati kerana faktor usianya.



“Saya di sini bukan untuk melakukan kerja amal. Saya di sini untuk bermain dan memberikan hasilnya melalui prestasi saya. Jadi saya harap boleh terus melakukannya,” kata Ibrahimovic.

Sekiranya Sweden layak beraksi pada tahun depan, Ibrahimovic juga boleh mengatasi rekod umur untuk kejohanan Eropah milik Gabor Kiraly dari Hungary, yang beraksi pada edisi 2016 ketika berusia 40 tahun.

Selepas Sweden gagal mara ke Piala Dunia 2022, Ibrahimovic pada tahun lalu berkata, dia akan ‘teruskan selagi boleh’ dan berasa ‘panik’ dengan prospek untuk bersara.

Sweden akan menentang Belgium pada awal pagi Sabtu ini serta Azerbaijan pada 27 Mac.



Ketiga-tiga negara itu semuanya berada dalam kelayakan Kumpulan F, bersama-sama Estonia dan Austria, dengan dua pasukan teratas layak ke peringkat kalah mati.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker