KAFA kerja keras cari dana

KOTA BHARU, 2 Jun — Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bekerja keras untuk mengumpul dana bagi menyelesaikan hutang lapuk yang mengakibatkan persatuan itu berdepan pelbagai isu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan oleh barisan kepimpinan persatuan bagi mendapatkan sumber kewangan bagi menampung tabung persatuan yang kritikal.

“Sebelum ini kami terpaksa menagih simpati daripada rakyat dan penyokong pasukan Kelantan dengan melancarkan tabung ‘Selamatkan Bola Sepak Kelantan’ berikutan persatuan tidak mempunyai aliran sumber kewangan susulan saingan Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan.

“Begitu juga kami telah mengadakan pertemuan dengan pucuk kepimpinan tertinggi kerajaan negeri bagi mendapatkan bantuan kewangan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.



Antara isu hutang lapuk melibatkan persatuan itu adalah KAFA diarahkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) melunaskan hutang bekas pemain import Kelantan Cassio Francisco De Jesus berjumlah lebih RM600,000 dan yang terbaru FIFA mengarahkan KAFA menyelesaikan bayaran tunggakan RM142,000 kepada bekas pemain import Bruno Lopez.

“Selain aspek kewangan, pertemuan itu turut membincangkan soal bantuan-bantuan lain yang boleh disalurkan oleh kerajaan negeri kepada KAFA,” katanya.

Ahmad Muzakkir berkata sehingga ini KAFA telah berjaya mengumpul RM15,000 hasil sumbangan penyokong dan orang ramai secara dalam talian.

“Pucuk pimpinan KAFA berterima kasih kepada ‘perwira-12’ Team Red Warriors (TRW) yang telah membantu pasukan,” katanya.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker