Kapal layar Saddam Hussien kini jadi tempat piknik
Baghdad: Terbalik di sungai selatan Iraq, bangkai kapal layar milik Saddam Hussein yang berkarat menjadi peringatan yang jelas mengenai pemerintahan kuku besinya berakhir dengan pencerobohan diketuai Amerika Syarikat (AS), dua dekad lalu.
Kapal dengan nama Al-Mansur sepanjang 121 meter menjadi simbol kekayaan dan kuasa Saddam ketika ia dibina pada 1980-an. Ia kini menjadi destinasi pelancong dan nelayan yang menaiki bangkai kapal itu untuk berkelah dan minum teh.
“Ketika ia dimiliki oleh presiden, tiada siapa boleh mendekatinya,” kata nelayan Hussein Sabahi yang menikmati secawan teh di atas bangkai kapal itu.
Saddam mengeluarkan arahan supaya kapal layar itu, yang tidak pernah dinaikinya, ditambat di perairan Umm Qasr ke Basra untuk disimpan beberapa minggu, selepas pencerobohan tentera asing di negara itu, pada 20 Mac 2003.
Tetapi kapal itu disasarkan oleh tentera asing yang diketuai AS dan kemudiannya terbalik di Sungai Shatt al-Arab apabila ia karam dan mula reput.
Selepas pergolakan yang menyusuli kejatuhan Saddam, barangan dari kapal layar itu dirompak termasuk candelier dan perabot hingga kepada bahagian struktur logamnya.
Salah satu daripada tiga kapal layar milik Saddam, kapal layar itu boleh memuatkan sehingga 200 tetamu dan dilengkapi dengan helipad.
Pegawai AS menganggarkan pada 2003 bahawa Saddam dan keluarganya mungkin mengumpul dana haram sehingga AS$40 bilion (RM177 bilion).
Sebuah lagi kapal layarnya dijadikan hotel di Basra.
Walaupun beberapa rakyat Iraq berkata, bangkai kapal itu harus dipelihara, kerajaan tidak memperuntukkan dana untuk memulihkannya.
Reuters