Palsukan pasport 27 PATI Bangladesh ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Palsukan pasport 27 PATI Bangladesh ditahan

Jabatan Imigresen menahan 27 lelaki warga Bangladesh berusia antara 24 hingga 46 tahun kerana disyaki menggunakan pasport palsu ketika cuba mendaftar bagi program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK)2.0 di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata pihaknya turut menahan seorang wanita tempatan berusia 39 tahun yang menjadi wakil majikan ketika mengiringi semua lelaki Bangladesh yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ke pejabat imigresen.

Beliau berkata, penahanan membabitkan warga Bangladesh itu dibuat ketika mereka sedang menjalani proses verifikasi cap jari bagi pendaftaran dalam RTK 2.0 di Pejabat RTK Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jalan Duta jam 11 pagi tadi.



Katanya, warga Bangladesh terbabit disyaki melakukan pindaan maklumat pada pasport dan hasil pemeriksaan menggunakan sistem jabatan MyIMMS oleh pegawai verifikasi mengesahkan berlaku pindaan pada butiran nombor pasport lama dan biodata butiran diri pada pasport mereka.

“Semua lelaki Bangladesh itu ditahan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menggunakan atau tanpa kuasa sah memiliki dokumen perjalanan yang dipinda atau dipalsukan, manakala wanita tempatan itu pula ditahan kerana kesalahan mengikut Seksyen 56(1A)(a) akta sama.

“Warga Bangladesh itu kemudian dibawa ke Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk pemeriksaan serta ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan serta tindakan lanjut, manakala wanita warga tempatan itu diserahkan kepada Unit Siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ruslin berkata, pihaknya menggesa majikan yang mendaftarkan PATI untuk program RTK 2.0 supaya segera hadir ke pejabat RTK 2.0 Imigresen Wilayah Persekutuan untuk menyelesaikan proses verifikasi.



Beliau berkata, ia bagi membolehkan urusan pengeluaran permit kerja sementara dapat dilakukan tanpa menunggu saat akhir, sekali gus dapat mengelak kesesakan.

“Majikan yang menggajikan PATI atau pihak melindungi PATI, selain cuba melakukan sebarang kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta mana-mana peraturan atau perundangan lain akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan PATI di sekitar ibu kota boleh menyalurkan aduan kepada Unit Aduan, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Kuala Lumpur atau hadir ke pejabat, menghantar e-mel ke [email protected] atau menghubungi talian 03-6205 7515.

Sumber – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker