Wajah Ernie Zakri Terpampang Di Billboard, New York

Penyanyi bervokal lantang, Ernie Zakri terus mencipta kejayaan sekali gus membanggakan negara apabila wajahnya menjadi selebriti seterusnya yang menghiasi papan iklan ikonik di Times Square, New York, Amerika Syarikat.

Menurut Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, dia akui gembira selain meluahkan rasa syukur apabila mendapat berita tersebut.

Semestinya, saya sangat gembira dengan berita ini. Alhamdulillah, ia sememangnya salah satu kejayaan terbesar dalam kerjaya saya sebagai seorang penyanyi solo.

Saya tak pernah terbayang yang satu hari nanti wajah saya akan terpampang di papan iklan digital New York Times Square yang memang dikenali seluruh dunia.

Saya bercadang untuk menghasilkan lebih banyak lagu dan juga mungkin sebuah album pada hujung tahun ini. Banyak yang sudah saya rancangkan jadi tolong doakan semuanya dimudahkan.

Penampilan Ernie pada papan iklan digital tersebut adalah sebagai wakil penyanyi Malaysia
dalam kempen Equal oleh wadah penstriman muzik digital, Spotify.

Hak wanita

Equal merupakan program anjuran Spotify yang memperjuangkan kesamaan dalam
mengetengahkan artis wanita dari seluruh dunia.

Mengulas mengenai kempen tersebut, pelantun lagu Gundah itu berkata dirinya akan terus memperjuangkan hak wanita menerusi karya yang dihasilkan.

Saya sentiasa ingin menjadi versi terbaik diri saya. Kebanyakan lagu saya membawa pesan pemerkasaan wanita. Dan inilah yang ingin saya laungkan.

Mimpi boleh menjadi kenyataan jika kita bekerja dengan bijak. Banyak yang telah saya pelajari.

Dulu saya fikir bekerja keras adalah kunci segalanya, tapi kini setelah bergelar ibu dan isteri saya mengerti bahawa saya perlu bekerja dengan bijak jika ingin mengecapi keseimbangan dalam hidup dan kerjaya.

Akhirnya, penguat semangat dan pendorong saya adalah keluarga tercinta.

Sementara itu, Ernie yang baru sahaja selesai menjayakan Konsert Satu Suara Vol.3 bersama penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut menerima pernghormatan daripada pelantun lagu Seindah Biasa itu.

Terdahulu, beberapa selebriti tanah air turut menghiasa papan iklan tersebut antaranya, Dolla, Yuna, Siti Nurhaliza dan ramai lagi.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker