Kongsi kepakaran bangunkan komuniti

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad (tengah) turun padang berinteraksi dengan wakil Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan penduduk kampung ketika menyertai Program Kemuncak Tautan Mesra Komuniti Parit Sulong dan Program Jelajah Johor Bersama Sekretariat Anak Johor (SOHOR) di sekitar Parlimen Parit Sulong, Johor, Sabtu lalu.

 

Oleh Azrin Muhammad

BATU PAHAT – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggalakkan mahasiswa untuk aktif melibatkan diri sebagai sukarelawan dalam program khidmat masyarakat khususnya dalam bidang inovasi sosial.

Menterinya, Dato’ Dr. Noraini Ahmad berkata, galakan tersebut sejajar dengan fokus KPT dengan menggunakan slogan Memacu Kesejahteraan Komuniti untuk berkongsi bidang kepakarannya bagi membangunkan komuniti setempat.

“Usaha kementerian telah lama dimulakan dan baru-baru ini Program Kemuncak Tautan Mesra Komuniti Parit Sulong bersama-sama Program Jelajah Johor Bersama Sekretariat Anak Johor (SOHOR) menjadi bukti pentingnya peranan mahasiswa terhadap masyarakat walaupun belum bergelar graduan.

“Besar harapan saya agar para mahasiswa dapat memainkan peranan mereka dalam pelaksanaan program bersifat kesukarelawanan,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran kedua-dua program di Parit Sulong, Johor, Sabtu lalu.

Seramai 120 orang pelajar daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dibahagikan kepada tiga kumpulan ke Kampung Bintang, Kampung Parit Tengah dan Kampung Sarang Buaya untuk menyelami gaya hidup masyarakat setempat termasuk kaedah pertanian.

Acara yang berlangsung selama dua hari itu menggunakan konsep keluarga angkat telah memberi peluang kepada peserta dan pasukan penyelidik UMT untuk berkongsi pelbagai kepakaran pertanian dan keusahawanan.

Dalam perkembangan sama, Noraini turut menyampaikan sijil tamat latihan ternakan kelulut, penyerahan sistem akuaponik ternakan udang galah serta tanaman sayuran.

Ujar Noraini, projek yang telah dilaksanakan di ketiga-tiga kampung berkenaan mempunyai potensi kolaborasi antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Tekun Nasional dan SME Crop Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker