Tanggungjawab ibu bapa pantau anak di masjid – Mufti

KUALA LUMPUR: Ibu bapa digalakkan membawa anak ke masjid dalam usaha mengimarahkan institusi berkenaan, namun perlu bertanggungjawab memastikan anak mereka tidak mengganggu jemaah lain.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata bagi kanak-kanak yang mumayyiz mereka boleh solat secara berjemaah, manakala bagi kanak-kanak yang masih kecil, mereka perlu diletakkan di satu tempat yang sedikit jauh daripada tempat solat, supaya tidak membuat bising dan mengganggu jemaah solat.

“Bagi ibu bapa yang perlu membawa anak kecil ke masjid, mereka perlu menjaga atau memastikan anak mereka dijaga orang lain supaya tidak mengganggu.

“Kita menggalakkan kanak-kanak datang ke masjid dan bukan menghalang mereka yang akhirnya membuatkan mereka trauma hendak datang ke rumah Allah lagi.



“Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa pastikan anak-anak tidak membuat bising hingga mengganggu jemaah lain,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, dalam Islam ketika lelaki dan wanita sedang solat berjemaah, kanak-kanak boleh ditempatkan di belakang jemaah lelaki.

Katanya, ia bagi memudahkan jemaah wanita untuk memerhatikan anak-anak mereka walaupun ketika sedang solat.

“Tetapi oleh kerana saf wanita di masjid agak jauh, sukar untuk mereka memerhatikan anak-anak mereka yang berada di belakang jemaah lelaki.



“Jika saf yang tiada tirai, mudah untuk jemaah wanita memerhatikan anak-anak mereka dan ini mengikut kebijaksanaan pihak masjid itu sendiri,” katanya.

Abdul Rahmah berkata, bagi masjid yang besar, pihak masjid boleh menyediakan tempat khas seperti tempat permainan untuk kanak-kanak bermain sekali gus dapat membuatkan mereka berada jauh daripada kawasan solat.

Bagaimanapun katanya, ia berbalik kepada ibu bapa itu sendiri, jika merasakan anak-anak mereka sukar dikawal perlu elak daripada membawa ke masjid sekali gus mengelak daripada membuat gangguan.

“Tetapi jika ibu bapa merasakan anak-anak mereka boleh dikawal dan tidak akan membuat gangguan, kita galakkan mereka untuk datang ke masjid,” katanya.

Semalam BH melaporkan, segelintir jemaah wanita di Masjid Puncak Alam, Kuala Selangor, mendakwa tidak dibenarkan bersembahyang di ruang solat utama masjid kerana membawa kanak-kanak.

Wanita itu mendakwa pengurusan dan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) masjid itu mengarahkan mereka keluar dari ruang solat utama ketika mahu menunaikan solat tarawih dan memaklumkan ruang itu hanya untuk wanita dewasa.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker