Anak belasah bapa dengan kerusi marah ditegur baca doa makan laju

KUALA LUMPUR: Hanya menegur anaknya yang membaca doa makan terlalu laju ketika berbuka puasa, seorang bapa cedera akibat dipukul dengan kerusi makan dalam kejadian di Kajang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata, dalam kejadian jam 7.45 malam itu, mangsa berusia 63 tahun dipukul anak lelakinya berusia 34 tahun ketika berada di rumah mereka.

Menurut beliau, suspek marahkan bapanya yang menegur dia membaca doa makan terlalu laju ketika mereka sekeluarga mahu berbuka puasa di rumah mereka.



“Suspek yang tidak berpuas hati dengan teguran itu kemudian menghayunkan kerusi meja makan ke kepala mangsa sehingga patah kaki kerusi.

“Salah seorang anak mangsa kemudian meleraikan pergaduhan itu dan menghubungi pihak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Zaid, tangkapan dibuat ke atas suspek dan polis turut merampas barang kes iaitu kerusi meja makan yang digunakan untuk memukul mangsa.

“Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di dahi dan tapak tangan kanan dalam kejadian itu



“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan / 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017 dimana jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh boleh sampai setahun atau denda yang boleh sampai dua ribu ringgit atau dengan kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang dan dibenarkan reman selama tiga hari sehingga 27 Mac ini.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk membantu siasatan polis.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Suresh Krishnan di talian 017-4333795.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button