Curi barang pelanggan untuk beli aksesori motosikal

Ampang Jaya: Penghantar barang yang disyaki mencuri dan menjual barang kemas milik pelanggan ditahan dalam serbuan di Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, kelmarin mendakwa bungkusan mengandungi barang kemas miliknya dicuri suspek.

“Pada 23 Mac, 1.05 tengah hari mangsa menerima panggilan daripada suspek mengatakan bungkusan telah sampai dan ditinggalkan di hadapan rumahnya.

“Mangsa yang berada di bawah flat terbabit berselisih dengan suspek dan bertanyakan berhubung bungkusan miliknya dan suspek menyatakan meletakkan bungkusan di hadapan rumah mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, selang beberapa minit mangsa tiba di rumahnya namun mendapati bungkusan mengandungi barang kemas dianggarkan bernilai RM1,500 tiada lalu membuat laporan.

Katanya, bertindak atas maklumat, suspek berusia 29 tahun diberkas dalam serbuan di Jalan SS3/60, Petaling Jaya, 12.30 tengah malam tadi.

“Polis merampas telefon bimbit, helmet, beg penghantaran makanan, baju-T, seluar, alat kawalan jauh motosikal, dan motosikal yang digunakan semasa kejadian.

“Siasatan mendapati suspek menjual barang kemas tersebut dan membeli aksesori-aksesori dipasang pada motosikalnya,” katanya.

Beliau berkata, ujian urin ke atas suspek didapati negatif dan hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan permohonan reman akan dibuat hari ini,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker