Wanita dikhuatiri lemas, selepas kereta langgar mati pejalan kaki terjunam ke sungai

KUANTAN: Seorang lelaki maut, manakala penumpang wanita dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus selepas sebuah kereta terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jalan Nenasi – Rompin dekat Merchong, Pekan, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.47 pagi itu, lelaki terbabit mati di lokasi selepas dilanggar sebuah kereta yang terbabit sebelum kenderaan itu terjunam ke dalam sungai, menyebabkan seorang penumpangnya hanyut dan dikhuatiri lemas.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata sebaik menerima laporan kejadian, lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi diarahkan ke lokasi kejadian.



“Komander operasi melaporkan kemalangan membabitkan sebuah kereta yang melanggar seorang lelaki pejalan kaki sebelum kereta yang dipercayai dinaiki dua individu itu terbabas ke dalam sungai berdekatan.

“Pemandu kereta yang juga seorang lelaki selamat dengan cedera ringan, manakala penumpang wanita terjatuh ke dalam sungai bersama kenderaan dinaiki. Mangsa dikatakan sempat keluar dari kereta tetapi dihanyutkan arus sungai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Zulfadli berkata, mayat lelaki terbabit dihantar ke Unit Forensik Hospital Pekan untuk tindakan lanjut manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan bagi mengesan mangsa yang hilang.



“Operasi SAR dilakukan disekitar sungai terbabit dengan bantuan lima anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuantan serta tiga anggota dari BBP Rompin bersama sebuah bot penyelamat,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button