Seorang tidak sedar diri, 4 selamat terhidu gas beracun

Kota Kinabalu: Lelaki tidak sedarkan diri, manakala empat rakan sekerjanya selamat selepas terhidu gas beracun dipercayai daripada tong berisi ikan yang busuk di sebuah jeti di Sepanggar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.10 malam itu, Jirol Carumpi, 23, ditemukan tidak sedarkan diri, manakala empat lagi mangsa berusia antara 19 hingga 39 tahun, selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima maklumat berkenaan kejadian, sepasukan anggota dan pegawai bomba termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, setiba di lokasi, pasukan Hazmat lengkap tidak mengesan apa-apa bahan kimia.

“Terdapat lima mangsa dilaporkan terbabit dikeluarkan oleh pasukan Hazmat. Seorang daripada mangsa tidak sedarkan diri dan diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Empat lagi selamat dan turut dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati semua mangsa terhidu gas beracun berpunca daripada sebuah tong berisi ikan yang busuk.

“Operasi ditamatkan pada 10.08 malam tadi,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker