Bazar Klebang platform terbaik peniaga PMKS pasar produk

 

MELAKA: Glam Ramadan Bazar Klebang yang dianjurkan sepanjang Ramadan bagi membolehkan rakyat membeli persiapan hari raya adalah platform terbaik bagi peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memasarkan produk mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong, berkata penganjuran bazar berkenaan juga selaras dengan fokus kerajaan untuk membangunkan lebih banyak PMKS sekali gus memaju ekonomi rakyat khususnya selepas pandemik COVID-19.

“Kalau kita lihat kebanyakan peniaga yang menyertai Glam Ramadan Bazar Klebang adalah dalam kalangan peniaga atau pengusaha mikro, kecil dan sederhana yang memerlukan satu kawasan untuk berniaga bagi mengembangkan perniagaan mereka.

“Setiap tahun juga bazar ini menjadi platform untuk melatih dan melahirkan lebih banyak peniaga PMKS khususnya golongan belia,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan melawat gerai jualan di Glam Ramadan Bazar Klebang yang turut disertai ADUN Paya Rumput Datuk Rais Yasin dan Pengurus Besar Glam Bazar Klebang Rashid Omar.

Mengulas mengenai Glam Ramadan Bazar Klebang, Ban Hong, berkata penganjur diharap dapat memastikan perjalanan bazar itu daripada pelbagai aspek termasuk kebersihan, keselamatan, parkir dan aliran trafik berjalan lancar dan terjamin.

“Penganjur telah diberikan garis panduan penganjuran bazar yang sepatutnya dilakukan daripada pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan ia perlu diikuti… kami juga akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh penganjuran bazar ini,” katanya.

Beliau berkata pematuhan garis panduan itu penting kerana bazar berkenaan merupakan program tahunan dan ikon bagi DUN Klebang yang mampu menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar Melaka.

Sementara itu, Rashid berkata kira-kira 1.5 juta orang dijangka berkunjung ke Glam Ramadan Bazar Klebang sepanjang 30 hari penganjurannya dan sebanyak 177 khemah didirikan dengan tawaran jualan pelbagai barangan keperluan persiapan sempena hari raya antaranya baju kurung, baju Melayu, tudung, kasut dan kuih raya.

Beliau berkata selain itu, hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM50,000 antaranya berupa kereta Proton Saga dan motosikal Yamaha Y16ZR turut disediakan untuk pengunjung bertuah.

“Pengunjung berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hanya berbelanja serendah RM30 di mana-mana gerai di Glam Ramadan Bazar Klebang dan penganjuran bazar ini akan dimeriahkan lagi dengan persembahan artis seperti Datuk Awie dan Erra Fazira pada 2 April,” katanya.

Beliau berkata walaupun penganjuran bazar berkenaan berkonsepkan glamor dan moden, aktiviti berunsur keagamaan seperti program berselawat sebelum berbuka, khatam al-Quran pada malam Nuzul al-Quran dan agihan bubur lambuk turut diadakan sebagai pengisian penganjuran bazar berkenaan.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker