Bursa Malaysia kembali di atas 1,400 mata

KUALA LUMPUR,: Aktiviti memburu saham berharga murah melonjakkan Bursa Malaysia pagi ini seiring dengan prestasi Wall Street, didorong oleh pemulihan semula dalam kalangan saham perbankan selepas pihak berkuasa meyakinkan pasaran tentang kestabilan kewangan.

Pada 9.09 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 3.2 mata kepada 1,402.90 berbanding 1,399.70 pada penutupan urus niaga Jumaat lalu.

Pasaran memulakan dagangan pagi ini pada paras 1,400.95, meningkat 1.25 mata.



Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 158 berbalas 138, manakala 225 kaunter tidak berubah, 1,751 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 238.62 juta unit bernilai RM84.59 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, minat belian semula di Wall Street menunjukkan keyakinan pelabur yang boleh merebak ke bursa tempatan.

Firma pembrokeran itu menambah, keyakinan pengguna Amerika Syarikat (AS) dan kadar keluaran dalam negara kasar suku keempat 2022 dijangka menjadi tumpuan minggu ini.



Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran AS disokong oleh momentum belian dalam teknologi permodalan besar dan sektor lain, yang membantu menaikkan semua indeks utama ke zon positif.

Bagaimanapun, beliau berkata penjualan saham Deutsche Bank mempunyai kesan negatif terhadap sentimen pasaran.

Namun begitu, Thong percaya krisis perbankan di AS dan Eropah memberi impak yang sangat kecil kepada Malaysia kerana sistem perbankan domestik dan risiko kualiti aset diurus dengan amat baik.

“Indeks penanda aras tempatan masih dalam kedudukan terlebih jual, justeru kami menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam aliran antara 1,400-1,410 untuk hari ini,” katanya.



Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Genting Malaysia menokok sembilan sen kepada RM2.64, Genting Bhd naik 10 sen menjadi RM4.60 dan Petronas Gas menambah 18 sen kepada RM16.30, manakala Maxis dan Press Metal naik empat sen, masing-masing mencatatkan harga RM4.02 dan RM4.71.

Bagi saham aktif, Hong Seng Consolidated dan AT Systematization tidak berubah, masing-masing pada 12.5 sen dan satu sen sementara Jade Marvel meningkat satu sen kepada 30.5 sen dan Tanco menambah setengah sen menjadi 46.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas memperoleh 20.12 mata kepada 10,278.30, Indeks FBMT 100 menambah 19.55 mata kepada 9,971.38 dan Indeks FBM 70 menokok 12.79 mata kepada 13,310.51.

Indeks FBM Emas Syariah naik 11.71 mata menjadi 10,610.92 manakala Indeks FBM ACE turun 4.74 mata kepada 5,299.08.



Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 13.89 mata kepada 15,463.41, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.62 mata kepada 166.16 manakala Indeks Tenaga turun 1.81 mata menjadi 801.07 dan Indeks Perladangan berkurangan 7.54 mata kepada 6,706.39.

-BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button