Conte angkat kaki, Stellini bimbing Spurs

LONDON: Antonio Conte meninggalkan Tottenham selepas 16 bulan membimbing kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pengendali dari Itali itu dipecat susulan luahannya terhadap pemain dan pengurusan kelab selepas keputusan seri 3-3 di Southampton pada 18 Mac lalu, di mana mereka mensia-siakan kelebihan 3-1.

Conte, 53, yang mula bertugas di Tottenham pada November 2021, akan digantikan oleh pembantunya, Cristian Stellini sehingga akhir musim.

“Kami umumkan yang ketua jurulatih Antonio Conte sudah meninggalkan kelab atas persetujuan bersama.



“Kita layak ke Liga Juara-Juara pada musim pertama Antonio di kelab. Kami ucapkan terima kasih kepada Antonio di atas sumbangannya.

“Cristian Stellini akan bertindak sebagai ketua jurulatih sehingga tamat musim, bersama Ryan Mason sebagai pembantu,” kata Tottenham.

Pengerusi Spurs, Daniel Levy menambah: “Kami mempunyai baki 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris dan kami mempunyai kelebihan dalam persaingan tempat ke Liga Juara-Juara.

“Semua perlu bersatu dan meningkatkan usaha untuk penamat terbaik untuk kelab dan penyokong setia.”



Spurs kini di tangga keempat Liga Perdana Inggeris, tetapi hanya dua mata di depan Newcastle yang berada di tangga kelima, serta bermain kurang dua perlawanan berbanding kelab London itu.

Stellini sebelum ini menggantikan Conte di tepi padang ketika pengendali itu menjalani pembedahan pundi hempedu di Itali.

Conte menyelar pemain-pemainnya yang pentingkan diri dan tidak dapat beraksi di bawah tekanan selepas keputusan seri di Southampton.

Dia juga menyalahkan budaya menukar pengendali di kelab itu yang dianggapnya sebagai punca Tottenham sehingga kini gagal menjulang sebarang trofi.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker