Hasil getah Malaysia sudah tiada?

KUALA NERANG: Isu harga rendah dan tidak stabil, ketiadaan generasi pelapis serta kebergantungan kepada buruh asing masih membelenggu sebahagian besar pekebun getah di negara ini sehingga dibimbangi masa depan pengeluaran komoditi ini terus suram.

Daripada status sebagai pengeluar utama dunia getah suatu ketika dahulu, Malaysia kini berada pada kedudukan ketujuh pengeluar getah asli terbesar di belakang Thailand, Indonesia, Vietnam, India, Ivory Coast dan China.

Statistik pengeluaran getah asli negara juga semakin menunjukkan trend penurunan iaitu 740.1 tan metrik yang direkodkan pada 2017 kepada 603.3 tan metrik (2018), 639.8 tan metrik (2019), 514.7 tan metrik (2020) dan 469.7 tan metrik (2021).



Majlis Getah Malaysia (MRC) pula melaporkan setakat September 2022 lalu, pengeluaran getah asli negara hanya berjumlah 291.4 tan metrik sahaja.

Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (PERGETAH), Mohd Taufik Yaacob, berkata berikutan masalah berterusan dialami pekebun getah, adalah tidak mustahil pada suatu masa tanaman itu tidak lagi diusahakan penduduk, terutama pekebun kecil di luar bandar.

Beliau berkata, isu harga adalah masalah paling utama dalam industri getah berikutan sehingga kini kerajaan belum menetapkan harga lantai menyebabkan majoriti pekebun getah terpaksa hidup di bawah paras kemiskinan.



“Harga getah sebenarnya pernah melonjak sehingga RM8 sekilogram sekitar 2005 hingga 2007 menyebabkan ramai pekebun kembali menoreh, namun selepas 2008 harganya terus menjunam sehingga hari ini, apabila cuma sekitar RM2.20 hingga RM2.30 sekilogram.

“Pada harga ini, tidak ramai pekebun berminat mengusahakan getah kerana kos menguruskan kebun lebih tinggi berbanding hasil jualan, malah anak kepada penoreh sendiri tidak mahu lagi menoreh kerana tahu pendapatannya tidak tetap.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, tidak mustahil Malaysia tidak lagi akan menjadi antara pengeluar getah utama dunia, sedangkan permintaan dalam industri getah sentiasa tinggi sehingga banyak syarikat mampu mencatat keuntungan besar,” katanya ketika ditemui BH.

Mohd Taufik turut kesal kerana usaha kerajaan dalam membantu pekebun getah melalui Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) juga dilihat kurang berkesan dalam menyelesaikan masalah pekebun bagi tempoh jangka panjang.



Katanya, kekurangan insentif menyebabkan berlakunya kebergantungan kepada buruh asing terutama daripada Thailand, namun mereka juga kini semakin kurang berminat ke Malaysia berikutan kadar tukaran mata wang.

“Saya melihat IPG gagal membantu pekebun getah sedangkan tahun lalu sahaja kerajaan peruntukkan RM300 juta bagi IPG.

“Kita boleh lihat berapa banyak tuntutan yang dibuat kerana prosesnya sangat susah dan hanya boleh dibuat di Pejabat RISDA sahaja.

“Sekiranya kerajaan ikhlas mahu membantu, peruntukan IPG sepatutnya boleh diserapkan ke dalam BMT agar lebih ramai pekebun getah mendapat bantuan atau tempoh bantuan boleh dilanjutkan daripada tiga bulan ke lima bulan.



“Kita perlu faham dalam setahun pekebun getah hanya benar-benar boleh menoreh dalam tiga bulan sahaja. Musim hujan memang tidak boleh menoreh langsung manakala musim kemarau pula jumlah pengeluaran susu getah sangat rendah,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, berlaku ketidakseimbangan antara industri getah dan pekebun getah apabila pengilang yang menguasai pasaran tidak dikawal mana-mana pihak sehingga boleh ‘membuang’ harga.

Mohd Taufik berkata, pengilang juga tidak terikat pada sebarang harga menyebabkan mereka memberi pelbagai alasan, termasuk kenaikan tarif elektrik atau mempertikai kualiti getah dengan membelinya pada harga lebih rendah.

“Kita lihat kenapa negara seperti Thailand dan Vietnam masih memberi tumpuan kepada pengeluaran getah, sedangkan sektor sama di Malaysia sedang berdepan pelbagai masalah yang gagal diselesaikan.



“Salah satu kelemahan kita adalah ketiadaan teknologi baharu dalam pengeluaran getah. Kenapa pekebun di Thailand boleh menoreh sepanjang tahun termasuk ketika musim hujan kerana mereka ada kelengkapan dan kaedah menoreh moden.

“Oleh itu, kita minta Kementerian Perladangan dan Komoditi, Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan RISDA duduk bersama pakar dalam industri serta wakil pekebun getah untuk berbincang dan selesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya.

Mengulas mengenai pekerja tempatan terutama generasi muda, Mohd Taufik mengakui tidak ramai yang berminat terbabit dalam industri getah kerana menganggap ia sebahagian kerja kotor, bahaya dan susah (3D).

“Suka atau tidak sememangnya kerja menoreh getah boleh dianggap dalam kategori bahaya dan kotor, dengan pelbagai pilihan kerja lain yang ada di pasaran, industri ini berhadapan suasana suram.



“Generasi muda termasuk yang tinggal di kampung saya sendiri kini lebih memilih untuk keluar bekerja kilang di Pulau Pinang atau menjadi penghantar makanan di Alor Setar berbanding mengusahakan kebun ibu bapa mereka.

“Pekerja tempatan pula jika terbabit dalam sektor perladangan lebih berminat dalam industri sawit yang menjanjikan pendapatan lebih menarik, kemudahan dan peralatan lebih lengkap disediakan majikan,” katanya.

Justeru, beliau mengakui disebabkan faktor pekerja serta harga getah yang tidak menentu, ada kebun getah di sesetengah tempat kini terbiar tanpa diusahakan.

Menyentuh isu itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Irwan Shah Zainal Abidin berkata, industri getah dilihat mula ketinggalan di negara ini apabila kerajaan beralih kepada industri pembuatan sekitar tahun 80-an.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan tidak banyak peluang dan sektor berkaitan industri getah diteroka dengan kesannya dapat dilihat ketika ini, terutama ke atas golongan pekebun kecil getah.

“Sekiranya kerajaan serius melaksanakan konsep MADANI, maka seharusnya perhatian harus kembali diberikan kepada industri getah kerana ia antara sektor yang paling banyak membabitkan rakyat peringkat bawahan terutama di luar bandar.

“Berikutan peralihan kepada sektor pembuatan, elektronik dan automotif, kita tidak lagi memberi perhatian kepada industri getah, sedangkan potensinya masih ada terutama dalam pelbagai bidang hiliran.

“Sewajarnya usaha menarik kembali kelompok muda melalui tawaran upah setimpal dan harga jualan mampu mengembalikan nama Malaysia sebagai antara pengeluar utama getah dunia,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button